Wednesday, February 13, 2008

Datuk Pa Contoh Melayu Mudah Lupa

Ugut mahasiswa, Mustafa jangan lupa kegiatan haram BN

KUALA LUMPUR, Feb (Hrkh) - Tindakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamad yang mengugut dengan melarang mahasiswa terlibat dalam kempen pilihan raya umum ini perlu dianggap serius.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub ugutan ini merupakan satu sekatan ke atas kebebasan mahisiswa untuk berfikir, bercakap dan bertindak dalam membina jati diri mereka, sekali gus untuk mengelakkan golongan muda berpendidikan tinggi tidak menyokong BN.
Katanya, ironisnya di sebalik tegahan untuk mahasiswa terlibat itu, Mustapa sendiri memperalatkan mahasiswa untuk kepentingan politik BN.
Dalam pada itu, Salahuddin mengakui bahawa mahasiswa terhalang daripada terlibat dalam aktiviti politik termasuk kempen pilihan raya di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"Tetapi, sebagai satu proses latihan kepemimpinan dan pembinaan modal insan, kerajaan patut membenarkan mahasiswa menentukan sendiri jati diri mereka terutama apabila berpeluang terlibat dalam pilihan raya yang berlaku empat atau lima tahun sekali ini.
"Kita menerima hakikat mahasiswa tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di luar musim pilihan raya, tetapi untuk pilihan raya umum ini mereka perlu diberi kelonggaran.
"Jika generasi muda yang sebaya dengan mahasiswa di luar kampus boleh terlibat, maka golongan intelektual kita dihalang? Bukankah sebahagian daripada mahasiswa mempunyai hak mengundi, maka mengapa hak terlibat dalam kempen pilihan raya hendak disekat?"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Tambahnya, taktik yang digunakan oleh Kerajaan BN dengan mengenakan ugutan untuk menarik balik biasiswa atau pinjaman pendidikan adalah satu kezaliman.
"Apakah Kerajaan BN terlalu takut jika mahasiswa terlibat sedangkan mereka sendiri mendakwa begitu yakin untuk menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.
"Ugutan-ugutan seperti tarik biasiswa, dipecat universiti dan dikenakan pelbagai tindakan disiplin yang lain hanya sesuai untuk zaman batu sahaja,"katanya lagi.
Jelas Salahuddin lagi, sekarang ini zaman teknologi maklumat di mana segala maklumat politik boleh masuk ke kocek baju mahasiswa.
"Maka tidak perlu ugutan yang tidak bertamadun ini dibuat oleh seorang menteri. Apakah menteri berfikir bahawa tahap pemikiran mahasiswa setaraf dengan masyarakat hulu atau orang yang tidak berpelajaran.
"Jika Menteri Pengajian Tinggi benar-benar ikhlas untuk menghalang mahasiswa terlibat dengan kempen politik kerana bercanggah dengan AUKU, maka mengapa menteri sendiri melakukan sebaliknya. Bukankah Kementerian Pengajian Tinggi telah membenarkan Putera dan Puteri Umno masuk ke kampus dan mengadakan program dengan kepemimpinan mahasiswa.
"Baru-baru ini pun Menteri Pengajian tinggi sendiri melancarkan program Baktisiswa yang disertai 1,500 mahasiswa di Kelantan sebagai satu strategi politik BN. Apakah Dato' Mustapa terlupa bahawa terdapat ramai mahasiswa dari pelbagai universiti telah didaftarkan oleh agen Menteri Pengajian Tinggi sebagai pengundi di Jeli,"tambahnya lagi.
Ujarnya, menteri perlu telus dan soal ini dan jangan bersikap munafik bila menjelang pilihan raya.
"Mahasiswa disekat kebebasan mereka jika menguntungkan pembangkang, tetapi mereka diperalat demi kelangsungan politik sempit BN,"tegasnya.

No comments: