Thursday, March 27, 2008

Mendirikan Bayt Al-Quran ke arah Memperkasakan Bayt Al-Muslim yang Cemerlang


Bermula Di Rumah, Dimulakan Ibu Ayah


Dalam usaha ke arah melahirkan dan mempertahankan generasi al-Quran di kalangan anak-anak, usaha perlulah bermula dari rumah itu sendiri. Peranan utama akan dimainkan oleh ibu bapa yang seharusnya sedar bahawa jiwa anak-anak perlu dibajai dengan kalimah al-Quran, telinga perlulah dihalwakan dengan alunan al-Quran, solawat, burdah, qasidah sebagai penambah rasa kepada kekhusyukan dalam berzikrullah dan penghayatan al-Quran itu sendiri perlulah diterjemahkan dalam bentuk amalan yang berterusan.


Dunia Akhir Zaman

Betapa masyarakat dewasa telah meminggirkan al-Quran sebagai dustur kehidupan dan pegangan yang hakiki mereka ke arah sistem hidup yang berpedoman. Ibu bapa pada hari ini semakin ramai yang alpa dan memandang enteng kepentingan al-Quran dan penghayatannya. Jika disuruh anak-anak pada hari ini menyanyikan lagu Mawi, lagu Siti Nurhaliza, lagu kumpulam Estranged, pasti anak-anak ini tidak teragak-agak untuk melagukannya dengan penuh irama dan penghayatan. Tetapi apabila diminta untuk mengalunkan bacaan al-Quran walhal semudah Al-Fatihah pasti mereka akan tergagap-gagap malah ada anak-anak yang bersifat jujur akan mengatakan tanpa segan silu bahawa ibu bapa mereka tidak pernah mengajar mereka mengaji malah al-Quran sendiri tidak pernah diperkenalkan kepada mereka. Alangkah sedihnya kita bahawa zaman hari ini telah ketandusan hafiz dan hafizah dan ulam’ al-Quran yang akan memelihara kemurnian al-Quran malah paling tidak kita semakin kehilangan generasi yang cintakan al-Quran. Inilah salah satu bukti dunia akhir zaman yang semakin jelas dan nyata.

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bahawasanya Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.
H.R. Muslim

Sekarang ini alim-ulama dan hafiz serta hafizah sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan, "patah tumbuh, hilang berganti", peribahasa ini tidak tepat herlaku kepada alim ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari Ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Scbenarnya, alim ulamalah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.
Di ahir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi. Di mana bilangan alim ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Ini lah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Akademi Al-Quran

Tidak dinafikan sekarang telah banyak akademi-akademi yang berteraskan al-Quran tumbuh bagaikan cendawan tetapi kita perlu ingat, pertambahan individu yang buta al-Quran juga semakin jelas ketara. Sekalipun terdapatnya kewujudan Akademi al-Quran di TV 9, Tilawatul quran di RTM 1 dan Mari Bertarannum di TV 9, tetapi sejauh manakah rancangan realiti seperti ini mampu menyedarkan ibu bapa dan anak-anak muda. Oleh itu betapa pentingnya kita yang dikurniakan Allah kesedaran tentang pentingnya membudayakan al-Quran yang perlu bermula di rumah dan dimainkan sendiri oleh ibu bapa buat teladan anak-anak. Bagi mereka yang masih lagi jauh daripada kesedaran ini, maka betapa pentingnya golongan dae’i dan golongan yang berkesedaran menjalankan usaha membentuk suasana masyarakat yang kenal dan cintakan al-Quran. Maka sudah tentu kita bertanggungjawab membentuk dan memelihara generasi yang cintakan al-Quran agar kita masih terpelihara daripada kecelakaan dunia di mana al-Quran itu sendiri sebagai syifa’ penyakit cintakan duniawi.

Bayt Al-Quran


Menciptakan suasana rumah tangga yang diberkahi dan dilimpahi nur Ilahi bukanlah sesuatu yang mustahil. Raisul Bayt (ibu bapa) itu sendiri perlu berkesedaran dan berupaya mendisiplin setiap ahlul baytnya dengan amalan al-Quran dan penghayatannya. Kita tidak perlu menunggu menghantar anak-anak ke pusat hafazan al-Quran atau institusi-institusi lain untuk mendisiplinkan anak-anak dengan al-Quran malah ia boleh bermula di rumah. Alangkah indahnya jika anak-anak di rumah bibir-bibir mereka sentiasa bergerak-gerak menuturkan kalimah al-Quran, lidah mereka sentiasa basah dengan zikrullah dan ibu bapa pula sentiasa mengajar anak-anak dengna ilmu-ilmu berkaitan al-Quran. Pastilah rumah tangga yang dibina sentiasa bercahaya dan damai dilimpahi rahmat dan kasih sayang Ilahi. Beruntungnya mereka di mana di dadanya hanya sarat dengan kalam Allah yang suci. Kita tidak akan rugi jika mengajar anak-anak dengan ilmu al-Quran kerana bimbangkan anak-anak terabai dengan ilmu yang lain, kerana dalam al-Quran itu sendiri menuntut kita mempelajari pelbagai ilmu. Alangkah bahagianya kita jika berjaya membina generasi al-Quran yang profesional. Lahirnya anak-anak kita sebagai jurutera yang hafiz, dewasanya anak-anak kita sebagai jururawat yang hafizah malah berbahagialah kita apabila semua anak-anak kita adalah hafiz dan hafizah. Inilah rumahtangga yang diidamkan.

Selain itu ibu bapa perlulah menjadikan rumah mereka sebagai madrasah tempat anak-anak mula-mula mempelajari al-Quran dan ibubapa sendiri sebagai mua’llim/ah dan mudarris/ah mereka. Suasana begini penting sebagai menjadikan al-Quran sebagai hiburan di rumah mereka dan menjauhkan hiburan yang melaghakan. Sesuailah seperti pepatah arab mengatakan ’Ibubapa adalah madrasah pertama anak-anak’.

Kaedah Menghafal al-Quran

Alhamdulillah beberapa bulan yang lalu saya sempat membaca sebuah majalah ilmiah yang mana dalam majalah tersebut ada diselitkan sedikit tentang kaedah menghafal al-quran secara umum. Sedikit sebanyak kaedah yang disiarkan dapat menjadi panduan buat saya dan semua yang membacanya.




1)Bilangan ayat dalam al-Quran = 6666 ayat

2)Bilangan surah dalam al-Quran = 114 surah

3)Bilangan juzuk dalam al-Quran = 30 juzuk

4)Bilangan helaian dalam satu juzuk (antara juzuk ke juzuk) = 10 helai (20 muka surat)
(1 helai = 2 muka surat)

5)Bilangan helaian dalam 30 juzuk (1 al-Quran) = 300 helai = 600 muka surat
1 juzuk = 10 helai
30 juzuk = 300 helai

6)Bilangan masa untuk bacaan 1 helai = 5 minit (dengan melihat masyhaf)
2 minit (tanpa melihat masyhaf)

7)Bilangan masa untuk bacaan 1 juzuk = 50 minit (dengan melihat masyhaf)
20 minit (tanpa melihat masyhaf)

Perhatian

8)Bilangan hari dalam satu tahun = 360 hari

9)Bilanagan tahun untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran

a) Tahap sederhana cepat

i) Satu hari satu helai = 1 hari = 1 helai
300 helai = 300 hari
= 1 tahun

ii) Satu hari ½ helai (satu muka surat) = 1 helai = 2 hari
= 300 helai = 600 hari
= 2 tahun

b) Tahap biasa

i) Satu hari ½ muka surat = 1 helai= 4 hari
300 helai = 4x300 => 1200 hari
= 3 tahun 4 bulan

ii) Satu hari 1/3 muka surat = 1 helai = 6 hari
300 helai = 6x300 => 1800 hari
= 5 tahun

c) Tahap azam yang kuat

i) Satu hari 2 ayat = 1 hari = 2 ayat
Maka 6666 ayat = 3333 hari
= 9 tahun 3 bulan

Ini bermakna dalam usia 10 tahun atau 11 tahun, anak-anak kita sudah mampu menjadi huffaz al-Quran. InsyaAllah.

No comments: