Tuesday, March 18, 2008

Saya Masih Belajar

Alhamdulillah juga, semalam saya sempat melawati blog-blog sahabat-sahabat. Banyak yang telah saya pelajari daripada mereka semua. Saya cukup kagum dengan mereka yang diberi ilham dan kelebihan oleh Allah untuk menulis dan mengarang dengan baik. Macam-macam bentuk, gaya dan corak penulisan yang dipersembahkan oleh mereka semua. Ada yang menjadikan blog mereka sebagai tempat berdiskusi, sebagai tempat meluah persaan, menceritakan pengalaman, melakarkan kisah kehidupan dan bermacam-macam lagi sehinggga perkara yang berat seperti hukum hakam agama dan isu semasa. Apapun satu sahaja yang dapat saya simpulkan daripada penulisan mereka semua. Penulisan mereka semua menghala kepada satu matlamat sahaja iaitu berdakwah.

Saya tertarik kepada satu blog sahabat saya yang mana blognya hanya menulis tentang kehidupan seharian beliau sahaja. Apa yang mengagumkan saya setiap pengalaman dan kisah hidup yang dikongsikannya semua menyelitkan unsur-unsur dakwah dan nasihat. Beliau menulis kisah hidup beliau bukan sekadar untuk suka-suka malah berharap dengan kisah hidup itu menjadi iktibar.

Teringat saya pengalaman ketika bersama-sama sahabat di kampus dulu. Kami sangat gemar mengikuti kuliah-kuliah ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Taib. Ceramah beliau adala berkisar soal-soal hukum-hakam dan tarbiyah. Tetapi apa yang membuatkan kami tertarik menghadiri kuliah beliau adalah beliau selalu menceritakan tentang kisah harian beliau yang mana setiap yang berlaku dalam hidup beliau, beliau terjemahkan dalam bentuk ibrah dan ilmu yang sangat berguna untuk dihayati. Beruntungnya beliau kerana setiap yang berlaku dalam kehidupan beliau, beliau memandang dari sudut yang sangat matang dan sarat dengan ilmu.

Begitu juga blog Ustaz Hasrizal yang saya lawati. Saya sangat suka melawati blognya kerana kebanyakan artikel beliau adalah mengenai kehidupan seharian yang mana kemudiannya beliau terjemah dalam bentuk yang sangat menarik dan sarat dengan ilmu dan mesej-mesej tertentu.

Saya pernah ditanya oleh sahabat saya apabila beliau mengunjungi blog saya. Katanya kenapa blog saya hanya mengandungi penulisan-penulisan yang ditulis oleh orang lain kemudian diletakkan di sini? Jawab saya, saya masih belum mampu menghasilkan penulisan sehebat sahabat-sahabat saya yang pandai menterjemah idea. Kualiti bagi seorang penulis adalah pengalaman hidup dan tahap pembacaan yang sangat memberangsangkan. Tapi itu semua belum ada pada saya. Saya masih perlu belajar dan mencari banyak ilmu danpengalaman .Apapun, saya ingin sekali membiasakan diri saya dan belajar dalam bidang penulisan kerana ia juga satu metod dakwah yang berkesan.

Wallahu a’lam.

No comments: