Tuesday, March 18, 2008

Sayangilah Adik-Adik Kita

(gambar hiasan)

Aisyah Natasya anak sepupu saya yang sangat petah bercakap. Kalau mendengar setiap butir bicaranya pasti kadang-kadang buat saya terkejut kerana apa yang dibicarakan tidak pernah terfikir untuk saya berbicara sedemikian. Budaknya cerdik. Umurnya 7 tahun dan ada 3 orang kakak. Anak bongsu daripada 4 beradik. Rumah kami bersebelahan. Kalau kat rumah, kakak-kakaknya memanggilnya dengan panggilan Adik. Saya pula senang memanggilnya dengan pelbagai nama. Kalau dia nakal, saya akan panggil dia dengan nama penuh. Kalau dia ok dan tidak mengada-ngada saya akan panggil dengan panggilan Dik Syah atau Tasya.

Dik Syah ni suka berjalan-jalan. Tiap-tiap petang dia akn datang rumah saya bermain dengan saya memandangkan kakak-kakaknya malas melayan karenahnya. Suatu hari Dik Syah bertanyakan kak longnya “Kak Long, kalau adik kena rogol macam mana?”
Saya yang mendengar pun terkejut. Mungkin dia terfikir untuk bertanya demikian memandangkan selalu sahaja dengar kat Tv kes-kes rogol yang berleluasa. Kebetulan masa tu hangat tentang kes adik Nurin Jazlin. Jadi nenek saya selalu nasihatkan dia supaya tidak balik ke rumah seorang diri dan bermain di luar rumah sebab takut berlaku kes seperti Nurin Jazlin.
Antara nak jawab dengan tidak, kak longnya bertanya balik pada Dik Syah, “Adik tahu tak rogol tu apa?”
“Rogol tu maksudnya adik kena culiklah.”

Kesian adik-adik kita yang tidak tahu tahap keselamatan mereka sekarang. Apa yang pasti, saya perhatikan kebanyakan ibu bapa di kampung saya masih tidak peka terhadap keselamatan anak-anak mereka. Mereka membiarkan anak-anak mereka bermain-main basikal denagan kawan-kawan seusia mereka di tepi-tepi jalan, di kawasan padang yang jauh daripada rumah orang dan ada juga ibu bapa yang sanggup menyuruh anak mereka untuk membeli barang-barang di kedai. Apakah mereka tidak mengambil iktibar daripada peristiwa adik Nurin dan Sharlinie? Seingat saya masa awal-awal kejadian kehilangan adik Nurin dan adik Sharlinie, suasana kampong saya sunyi sebentar dengan gelagat kanak-kanak berbasikal bersama-sama kawan-kawan mereka. Mungkin pada masa itu kebimbangan terjadi kepada anak-anak mereka amat terasa. Namun kebimbangan itu seolah-olah telah tiada selari dengan peredaran masa di mana adik Sharlinie seolah-olah amat tipis peluang untuk dijumpai kembali. Bagi ibu bapa, keselamatan anak-anak mereka adalah bermusim. Apabila timbul sahaja kes baru timbul kewaspadaan?

Iklan keselamatan di TV dan Radio

Sejak kes kehilangan adik Sharlinie, pelbagai iklan keselamatan mula disiarkan dengan harapan agar adik-adik ini dan ibu bapa akan perihatin terhadap keselamatan anak-anak mereka. Namun sejauh manakah adik-adik ini peka dan faham kepada mesej iklan yang disampaikan dan apakah kebarangkalian mereka akan bertindak begitu apabila kes seumpama itu terjadi kepada mereka? Bagi ibu bapa yang peka, mereka akan menerangkan langkah-langkah keselamatan kepada anak-anak mereka, tapi perlu diingat, kanak-kanak bukanlah insan yang matang untuk bertindak seperti yang ibu bapa mereka ajarkan. Oleh itu tanggungjawab tersebut akan kembali semula kepada ibu bapa di mana walau apa cara sekalipun, jangan biarkan anak-anak keseorangan tanpa orang dewasa.



Saya dan zaman kanak-kanak


Zaman kanak-kanak adalah zaman yang sangat berharga untuk dilupakan. Masakan tidak, zaman kanak-kanak penuh dengan permainan kampung seperti main tarik-upih, lompat tali, main masak-masak dan banyak lagi. Amat sukar untuk mengusir zaman kanak-kanak kita yang penuh dengan gelak tawa dan keseronokan. Saya rasa zaman kanak-kanak saya adalah zaman yang saya tidak pernah fikirkan keadaan sekeliling. Kalau rasa hendak bermain ajak sahaja kawan-kawan dekat-dekat rumah tidak ambil pusing langsung waktu ketika itu, tengah hari ke, pagi ke tapi tidaklah malam. Asal saje nak bermain waktu zohor pun saya akan ajak kawan-kawan bermain. Seingat saya kawan-kawan sepermainan saya waktu itu kak long saya, 2 orang abang saya dan kawan-kawan mereka. Maklumlah pada ketika itu tidak ada pun kawan seusia saya yang tinggal berdekatan. Paling tidak pun jiran saya yang lebih tua setahun daripada saya. Apa yang ingin saya sampaikan, kami ketika itu tidak pernah terfikir pun bahaya di sekeliling kami asalkan kami dapat bermain. Sejujurnya ummi dan abah saya tidak pernah risau kalau kami bermain di kawasan rumah mahupun kawasan lapang berhampiran tali air rumah kami. Memang ummi berpesan jangan bermain tempat yang jauh-jauh, dan jangan layan orang yang kami tidak kenali, tapi nasihat ummi itu sekadar agar kami beringat. Kanak-kanak, sejauh mana ingatan tersebut diletakkan dalam kepala, apabila seronok bermain semua akan lupa dek kegembiraan tak terkata. Mungkin juga suasana ketika itu dengan kadar jenayah yang kurang menjadikan ibubapa kurang risau terhadap keselamatan anak-anak mereka. Sesekali ummi bercerita juga tentang kanak-kanak diculik, tapi kami adik beradik anggap semua itu masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Paling tidak pun lekat juga dekat otak kami. Tapi itu tidak menakutkan kami. Perubahan masa menjadikan kanak-kanak semakin diambang bahaya dengan faktor yang sangat banyak. Pemerhatian saya terhadap keselamatan kanak-kanak kini sangat kritikal. Apakah puncanya??? Sangat banyak.

Sayangilah adik-adik kita

Berbalik kepada zaman kini, sukar saya untuk meramal sejauh mana tahap pemahaman kanak-kanak terhadap keadaan sekeliling mereka. Kanak-kanak kini kalau secara kasarnya dapat saya katakan jauh lebih matang berbanding zaman kanak-kanak saya yang lampau mungkin disebabkan oleh kecanggihan teknologi masa kini. Mungkin tahap kematangan jauh lebih tinggi kerana kanak-kanak sekarang sudah tahu apa itu komputer, lahir-lahir sahaja IT depan mata dan macam-macam lagi. Namun begitu satu perkara yang perlu ibu bapa ingat, pemikiran kanak-kanak bukanlah seperti kita. 10 kali kita ajar mereka benda yang sama, belum tentu kesepuluhnya mereka akan ambil untuk diingati. Kanak-kanak apabila mereka terlampau seronok mereka akan lupa keaadaan sekeliling mereka. Kanak-kanak apabila disogokkan dengan sesuatu yang mereka sangat suka, mereka akan lupa apa sahaja. Kanak-kanak tidak mampu berfikir dengan matang di saat-saat kritikal asalkan mereka gembira.

Oleh itu, seruan saya kepada semua, ibu bapa, abang kakak, datuk nenek, pakcik makcik, sayangilah kanak-kanak disekeliling kita sekalipun siapa dia. Jangan biarkan mereka terus menjadi mangsa ke seterusnya selepas adik Nurin dan Adik Sharlinie. Selalulah memerhatikan pergerakan mereka kerana hanya kita yang mampu menjaga mereka.

No comments: