Wednesday, March 19, 2008

Sejarah Mematangkan PAS

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

1. Latar belakang penubuhan PAS

Gerakan menubuh PAS adalah bermula daripada kebangkitan ulama di tanah air kita pada awal 1950-an. Pelopor gerakan itu adalah Tuan Hj Ahmad Fuad Hasan melalui suatu muktamar ulama-ulama Islam peringkat kebangsaan pada 21- 22 Februari 1950 bertempat di Bangunan Kelab Muar Johor. Pada muktamar tersebut 46 perwakilan hadir dan 300 pemerhati yang sebahagian besar adalah alim ulama ahli UMNO. Rumusan daripada muktamar itu, telah ditubuhkan Persatuan Ulama-ulama Se-Malaya.

Pada 23 Ogos 1951, Persatuan Ulama itu telah mengadakan muktamar ke-2 di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur. Muktamar itu mentercetuskan resolusi menubuh parti politik Islam yang bebas dari UMNO bagi mencapai tujuan pemusatan hal ehwal Islam yang lebih baik. Pemusatan hal ehwal Islam tidak boleh dibuat sekiranya Persatuan Ulama terus berada di bawah UMNO. Lantas itu dibentuk satu panitia Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Tuan Hj Ahmad Fuad Hasan.

Inisiatif panitia itulah telah mencapai persetujuan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, ulama perseorangan, qadhi-qadhi dan mufti; iaitu mengadakan muktamar di Kelab Melayu Bagan, Butterworth Seberang Perai pada 24 November 1951. Daripada muktamar itulah tertubuhnya Persatuan Islam Se-Malaya ringkasnya PAS.

Penubuhan PAS pada 24 November 1951 adalah melibatkan tokoh-tokoh seperti

1. Tuan Hj Ahmad Fuad Bin Hassan - Ydp. (Seberang Prai)
2. Tuan Hj Muhammad Ghazali Bin Hj Abdullah - Timb. Ydp.(Pulau Pinang)
3. Tuan Hj Hussein Bin Che Dol - Naib Ydp.(Bhg Utara/ Kedah)
4. Fakir Bin Muhammad Nor - Naib Ydp.(Bhg Tengah/Selangor)
5. Abd.Rahman Bin Jamaludin al-Jambuli-NaibYdp.(Bhg Selatan/ Singapura)
6. Tuan Hj Ahmad Bin Maliki - Setiausaha Agung (Seberang Prai)
7. Tuan Hj Ahmad Bin Tuan Husin - Bendahari Agung (Seberang Prai)
8. Yahya Bin Jonid - AJK , Padang Lumat (Kedah)
9. Ismail Bin Said - AJK , Anak Bukit (Kedah)
10. Tuan Hj Ahmad Badawi - AJK, Seberang Prai.
11. Tuan Hj Zabidi - AJK, Seberang Prai.
12. Tuan Hj Muhammad Bin Long AJK, Perlis.
13. Mohammad Bin Haniff - AJK, PulauPinang.
14. Ahmad Bin Hasii - AJK, Seberang Prai.

Daripada nama-nama pimpinan ulung itu, kesemuanya adalah dari utara kecuali seorang dari Singapura dan seorang dari Selangor. Tidak ada seorang pun dari pantai timur (atau Kelantan).

Sementara itu, didapati tiga orang adalah dari Kedah iaitu Hj Husin Bin Che Dol, Ustaz Yahya Bin Jonid dan Ismail Bin Said.

Hakikat ini membuktikan langkah awal PAS bertapak dan berkembang adalah di utara Tanah Melayu dan negeri utama adalah Pulau Pinang dan Kedah. Ini disokong pula oleh penubuhan cawangan PAS yang julung-julung kali (yang menghadiri muktamar pertama PAS) adalah terdiri daripada:

1. 2 cawangan dari Pulau Pinang (Bandar dan Bayan Lepas)
2. 2 cawangan dari Seberang Prai (Pokok Sena dan Bukit Mertajam)
3. 4 cawangan dari Perak (Titi Serong, Krian, Hilir Perak & Hulu Perak)
4. 2 cawangan dari Selangor (Sentul dan Sungai Penchala)
5. 1 cawangan dari Perlis (Perlis)
6. 1 cawangan dari Kedah (Bukit Besar).

Namun perkembangan PAS tidak berpihak kepada negeri Kedah atau sebelah utara tanah air, sedang sejarah merakamkan, bahawa seorang tokoh dari Kedah iaitu Hj Husin Che Dol pernah hadir ke Kelantan memberi penerangan mengenai PAS di Pasir Puteh Kelantan. Malahan pula, negeri Kedah , Perak dan Seberang Prai pernah mencatat sejarah gemilang dengan melahirkan tokoh-tokoh dalam PAS melalui pusat pendidikan Islam seperti Maahad Al-Ehya' As-Syariff Gunong Semanggol. Soalnya mengapakah kini kegemilangan itu lenyap khususnya di Perak, sebaliknya terserlah di Kelantan dan Terengganu.

3. PAS sebagai parti pemerintah Negeri

PAS pernah mendapat mandat memerintah di Kelantan dan Terengganu tetapi di negeri-negeri sebelah utara, tempat PAS mula berkembang. Kecuali semasa PAS menjadi komponen Barisan Nasional, ( PAS pada waktu itu menjadi parti pemerintah bersama-sama UMNO. ) PAS dapat memerintah Kelantan dan Terengganu adalah bermula daripada pilihan raya 1959. Kejayaan pada pilihan raya tersebut adalah sebenarnya bermula daripada sejarah gerakan PAS atas dasar Islam. Bagaimana masyarakat Kelantan pada awal-awal penubuhan PAS adalah bergerak atas kesedaran dan keyakinan perjuangan Islam.

Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus ada mencatatkan: "Di Kota Bharu saya gagal mendapat kawan-kawan yang mahu ikut serta dalam parti Islam itu...Akhirnya saya ditukar ke Pasir Mas.... di Pasir Mas sahabat saya yang pertama ialah Ahmad bin Yatim....Ahmad Yatim telah menjadi sahabat saya. Persahabatan itu telah banyak menolong saya dalam mencapai cita-cita perjuangan saya. Kawan-kawan beliau yang ada kesedaran polotik mulai menjadi kawan-kawan saya. Kedai jahitnya menjadi tempat persinggahan orang-orang yang berhubungan dengannya....Bagi mendapat sebanyak-banyak kawan secepat mungkin saya gunakan ajaran nabi kita iaitu beri salam kepada mereka yang kamu kenal dan yang kamu tidak kenal. Di mana sahaja saya pergi dan bertemu orang Melayu, saya ucapkan assalamulaikum. Di kedai kopi untuk mereka yang ada di dalamnya. Di pasar, kepada penjual ikan, di kedai rokok kepada penjaganya. Kelihatan juga mulanya ada yang hairan, tetapi bila saya menghulur wang untuk membeli rokok, tahulah dia pemberi salam bukanlah pengemis".

Allahyarham Amaludin Darus seterusnya mencatatkan bagaimana beliau berjaya mengembangkan dasar perjuangan PAS kepada tokoh-tokoh agama yang bertaraf Tuan Guru (di Kelantan dikenali sebagai Tok Guru). Pengamalan beliau amat memberangsangkan kerana sanggup berdepan dengan tok guru sehingga dapat meyakinkan golongan orang agama untuk turut serta menegakkan Islam menerusi wadah PAS.

Menurutnya "Saya terangkan kepada Tok Guru kita betapa pandangan daripada orang-orang yang setengah terpelajar dan yang terpelajar terhadap agama dan guru-guru agama. Saya jelaskan pengalaman-pengamalan saya berhubung dengan sikap yang menghina dan berpura-pura memuliakan Tok Guru-Tok Guru yang saya saksikan sendiri di majlis-majlis di mana-mana negeri pun...."Tok Guru yang tadinya merah padam mukanya kerana marah, sekarang mulai tenang dan memberi perhatian kepada apa-apa yang saya perkatakan. Beliau telah mulai memahami maksud kedatangan saya".

Justeru itu PAS dapat dikembangkan dengan baik di Kelantan adalah disebabkan kepekaan rakyat Kelantan terhadap agama Islam . Fenomena ini kian marak dengan penerimaan golongan agama seperti guru-guru pondok terhadap dasar Islam yang diperjuangkan PAS. Mengambil kira keadaan ini, sudah pasti langkah mengembangkan PAS hendaklah bermula dengan menyebarkan kesedaran Islam secara menyeluruh khususnya kepada umat Islam.
Sementara itu, hubungan pimpinan PAS dengan masyarakat sekitar hendaklah dibina dan dipereratkan demi mengembangkan lagi dakwah PAS terhadap orang awam yang belum menerima PAS.
Kembali kepada sejarah PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu. Menurut penganalisa politik pada masa itu , PAS dapat memenangi pilihan raya 1959 adalah kerana,
  • PAS dapat mempengaruhi dan memanfaatkan sepenuhnya tokoh-tokoh agama tempatan bagi memujuk pengundi-pengundi sekampung mengundi PAS, dan ….
  • Strategi PAS ialah berkempen dari rumah ke rumah kira-kira tujuh bulan lebih awal dari tarikh pilihan raya.

Melihat kepada faktor tersebut, PAS pada masa kini tetap menggunakan kaedah yang sama di samping beberapa kaedah lain yang diperkenalkan setiap kali menghadapi pilihan raya. Ini kerana kita yakin, memasuki pilihan raya adalah memerlukan sokongan rakyat. Lebih banyak pendekatan yang boleh menarik perhatian , simpati dan sokongan rakyat , maka bertambah ramailah rakyat bersama kita.

4. PAS sebagai komponen Barisan Nasional

Selepas PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu, didapati banyak keputusan-keputusan dasar dan strategi PAS dipengaruhi oleh suasana di Kelantan dan Terengganu. Namun begitu , selepas kerajaan PAS Terengganu hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri pada Oktober 1961 disebabkan beberapa orang ADUN PAS belot, tinggallah PAS Kelantan sebagai kerajaan. Bermula daripada situlah, PAS Kelantan mendapat perhatian serius pimpinan dari segi gerak kerja dan strategi politik .

Keadaan sedemikian kekal sehingga PAS di bawah pimpinan Allahyarham Dato' Mohd Asri Hj Muda menghadapi beberapa masalah dalaman sehingga keputusan pilihan raya 1964 dan 1969 didapati pengaruh PAS mula merosot berbanding dengan pencapaian 1959.

Keadaan politik tanah air pada tahun 1960-an banyak dicetuskan dengan isu perkauman, maka PAS pada waktu itu turut prihatin dengan isu tersebut. Tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, rusuhan kaum yang menjadi titik hitam negara, melahirkan pendekatan baru politik PAS , yang akhirnya membawa kepada perbincangan UMNO - PAS untuk menyertai Perikatan.
Pada September 1969, Dato' Mohd Asri telah mengadakan persefahaman dengan Tun Abd Razak Timbalan Perdana Menteri dan pada 21 Disember 1972, Kongres Khas PAS meluluskan pembentukan kerajaan campuran PAS-Perikatan. Perisytiharan rasmi dibuat di Pejabat Perdana Menteri pada 28 Disember 1972, akhirnya 1 Januari 1973 rasmilah pembentukan kerajaan campuran PAS-Perikatan di Kelantan. Rintisan kerajaan campuran itulah , membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada pilihan raya 1974.

Namun PAS tidak bertahan lama dalam Barisan Nasional, kerana kepimpinan PAS mula tidak sependapat, sementelah pula kepimpinan UMNO Kelantan di bawah Tengku Razaleigh Hamzah sentiasa mencari helah melaga-laga pimpinan PAS sehingga tercetus isu undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada waktu itu, Dato' Hj Muhammad Nasir.

Diikuti dengan rusuhan (penyokong Dato' Muhammad Nasir), kemudian kerajaan PAS Kelantan di MAGERAN pada 8 November 1977. Selepas itu (13 Disember 1977), PAS telah dipecat daripada komponen Barisan Nasional kerana tidak menyokong Rang Undang-undang Darurat yang dibentang di parlimen pada 19 Oktober 1977. PAS telah berpecah lalu tertubuhlah Berjasa dan PAS tewas dalam pilihan raya 1978. Saat itu kembalilah PAS sebagai pembangkang di Kelantan dan di peringkat persekutuan.

5. Masalah dan Tribulasi PAS

Pengalaman PAS pada keseluruhannya bergerak dalam keadaan dilanda masalah dan tribulasi yang berterusan. Masalah bermula tatkala PAS memenangi pilihan raya dan memerintah Kelantan dan Terengganu.

Masalah kepimpinan merupakan pencetus utama kemerosotan pengaruh PAS. Kerajaan PAS Terengganu jatuh lantaran ada pimpinan yang belot dan tidak istiqamah dengan kepentingan parti. Sementara PAS Kelantan dilanda perpecahan lantaran wujud dua kepimpinan dalam satu parti, masing-masing salah menyalah di antara satu sama lain , akibatnya musuh menyelinap dan memecahkan benteng kekuatan PAS Kelantan.

Penyakit sedemikian terus menular, sehingga ada setengah kepimpinan yang tidak bersedia berundur meskipun gaya kepimpinannya telah disangsikan dan tidak mampu membawa dasar parti. Hal ini, jelas berlaku kepada Allahyarham Dato' Mohd Asri, yang kemudiannya terpaksa keluar dari PAS lalu menubuhkan Hamim dan beliau sebagai Presiden. Pada masa itu, PAS menghadapi era kepimpinan ulama' hasil daripada kesedaran ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Perubahan era kepimpinan itu adalah atas kehendak seluruh ahli PAS yang mahu menterjemahkan kepimpinan PAS sebagai yang berteraskan ulama' demi memulihkan kewibawaan perjuangan Islam dan menanam keyakinan semula rakyat terhadap PAS.

Bertolak daripada perubahaan era kepimpinan tersebut, prestasi dan sikap PAS makin terserlah di dalam negara hatta peringkat antarabangsa. Lebih-lebih lagi dengan ketokohan kepimpinan masa kini, Mursyidul Am Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz, Presiden Ustaz Fadhil Noor dan Timbalan Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi dan beberapa orang tokoh lagi, ternyata gerakan PAS setanding malah lebih disegani oleh gerakan-gerakan Islam sedunia.
6. PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah

Dalam era 1990-an, PAS tetap mampu mengharungi arus politik perdana. Mulai tahun 1990, PAS mampu mencipta prestasi dengan lonjakan berganda; berjaya menguasai semula kuasa politik Kelantan bersama-sama parti-parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim melalui wadah Angkatan Perpaduan Ummah. Kekentalan rakyat Kelantan memberi harapan kepada PAS dengan mesej Islam sebagai ad-din mentadbir Kelantan atas nama kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah membuktikan PAS tetap subur dalam arus politik tanah air.

Sejarah pilihan raya 21 Oktober 1990 tetap menjadi catatan penting dengan PAS mengamalkan sikap terbuka dan bertoleransi dalam perjuangannya. Sikap ini telah dijelaskan oleh Presiden PAS dalam Muktamar 1989 dan sikap ini tetap diamalkan sekarang.

Meskipun begitu, pengalaman memerintah Kelantan dalam era 90-an adalah lebih mencabar berbanding dengan era 60-an. Pada penggal pertama (1990-95), tidak banyak kerenah politik berlaku dalam PAS dan kerajaan Negeri. Keadaan ini mungkin kerana rakan-rakan dalam Angkatan Perpaduan Ummah tetap akur dengan perpaduan yang dibina sejak tahun 1989. Dalam tempoh ini, kerajaan negeri banyak diasak oleh kerajaan Pusat dan UMNO dalam segenap penjuru. Perlaksanaan dasar pentadbiran terus berjalan dengan baik. PAS menerusi sokongan rakan-rakan Angkatan Perpaduan Ummah telah berjaya melaksanakan dengan cemerlang cita-cita pembangunan Kelantan atas slogan Membangun Bersama Islam. Banyak unsur dan dasar Islam telah dipraktikkan dalam pelbagai program untuk rakyat seluruh Kelantan.

Namun memasuki penggal kedua (selepas pilihan raya 1995), kerenah mulai timbul dan sengaja ditimbulkan oleh rakan kita daripada Semangat 46. Para pemimpin Semangat 46 mulai mencari peluang bagi menutup kelemahan parti mereka. Mereka telah menuntut hak-hak yang tidak munasabah seperti jumlah lantikan exco dari kuota PAS, jumlah lantikan penghulu dan ahli majlis daerah, mengeluarkan kenyataan sangka buruk terhadap PAS, menimbulkan bibit perpecahan dalam pentadbiran dan mengheret sama istana dalam isu-isu pentadbiran negeri. Semua yang mereka lakukan seolah-olah mereka pembangkang kepada kerajaan yang didokongi mereka sendiri.

Lantaran itu, kerajaan Kelantan dan hubungan PAS dengan Semangat 46 berada dalam kronik. Walau bagaimanapun, kita menyakini perjuangan Islam tetap benar dan PAS sebagai salah satu wadah perjuangan itu pastinya akan terus kukuh dengan cita-cita suci bagi mendaulatkan hukum Allah. Dalam hal ini, kita serahkan kunci penyelesaian kepada kebijaksanaan pimpinnan kita dan sama-sama kita berdoa, insya Allah PAS tetap unggul sebagai parti politik dan gerakan Islam di negara ini.

7. Masa Depan PAS

Firman Allah (Al-Ahzab, ayat 36) bermaksud:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasulnya, maka sesungguhnyalah dia telah sesat, sesat yang nyata"

Justeru itu, istiqamahlah dalam perjuangan Islam dan yakinlah dengan perjuangan PAS. Sesungguhnya PAS tetap menjunjung perjuangan yang diamanahkan Allah dan disunnahkan oleh Rasulullah saw.

Firman Allah lagi (Fussilat, 41 ayat 30) bermaksud:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمْ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), "janganlah mereka merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu".

PAS memerlukan ahli dan pemimpin yang istiqamah dan sanggup berjuang dengan bersungguh-sungguh. Yakinlah , Allah pasti akan memberi kemenangan kepada perjuangan islam , sama ada menang di dunia ataupun menang di akhirat (mendapat balasan syurga). Kita yakin masa depan PAS tetap gemilang. Tugas kita hanyalah berkerja keras demi kemenangan Islam.

Di susun oleh Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan
PAS Kawasan Rompin . 8hb. March 2001


Sumber :Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

No comments: