Wednesday, April 2, 2008

AKU MENANGIS KERANANYA

‘Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagai mana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak mampu memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kau-kaum yang kafir.’


Al-Baqarah : 286



Semalam, saya telah mendapat mesej daripada seorang sahabat saya. Kami berbincang agak panjang lebar tentang sesuatu perkara yang agak penting. Hasil daripada perbincangan kami yang tiada sebarang resolusi membuat saya terasa ingin menangis semahu-mahunya. Masakan tidak, banyak kekurangan diri saya yang masih saya tidak ambil peduli. Mesej sahabat saya itu sekadar luahan perasaan yang mana menyedarkan saya yang selama ini saya banyak mengabaikan sesuatu yang sangat penting dalam hidup saya. Namun mesejnya cukup menikam dikalbu saya.

Saya mahu menangis, tapi saya bukan hendak menangis kerana kata-katanya. Tapi saya mahu menangis betapa saya selama ini banyak lupa kepadaNYA. Hati saya mahu menjerit, tapi jeritan saya bukan kerana hirisan bicaranya yang merobek-robek hati saya. Saya ingin menjerit kerana betapa sakitnya saya akibat lalai kepadaNYA. Saya ingin meraung, tapi raungan saya bukan kerana saya terseksa dengan luahannya yang mendera saya. Saya ingin meraung untuk mengkhabarkan kepada semua bahawa saya telah jauh daripadaNYA. Saya banyak khilaf. Saya rindu kepadaNYA. Saya berdosa kepadaNYA. Saya mungkir janji kepadaNYA. Saya... saya dan saya.... Ya Allah, ampunkan saya. Ya Rabbi, kasihani saya. Tetapi DIA tidak lupa kasihNYA kepada hambaNYA ini yang telah menzalimi diri sendiri.

”Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami orang-orang yang rugi.”

Saya dan sahabat saya, kami bersahabat baik. Percaya atau tidak, sekiranya kita bersahabat baik, kita akan mengenali sahabat kita sesempurna mungkin. Tapi kami tidak. Saya bukan sahabat yang baik untuknya. Tapi demi Allah, kerana Allah mempertemukan kami dan menetapkan ukhwah ini terjalin, di atas landasan perjuangan di JalanNYA manakan bisa saya tidak menyayanginya. Sudah tentunya kalau orang memberi emas kepada kita, kita akan sayang emas itu apatah lagi ini anugerah Allah yang nilainya melebihi emas. Kalau sahabat saya mahu saya memahaminya saya juga seperti itu. Saya juga harap dia faham saya. Namun pelbagai ujian telah kami lalui sepanjang persahabatan ini. Kadang-kadang saya rasa tak mampu menghadapiNYA. Namun saya cuba untuk menjadi hamba yang kuat dan hamba yang taat moga-moga dengannya Allah membantu saya menghadapi dugaan ini.

”Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah pada dia urusan kami).”

Rupa-rupanya ujian yang menimpa kami sebenarnya adalah untuk mematangkan kami dan semoga dengan itu ia mengkafarahkan dosa kami. Sahabat saya seorang yang baik, jujur dan sangat memahami. Semalam sahabat saya buat saya menangis. Saya harap dia faham saya. Tapi rupa-rupanya, baru saya sedar perselisihan antara kami semalam adalah petunjuk Allah kepada saya bahawa saya sebenarnya yang banyak lupa kepadaNYA. Saya rasa sangat sedih, takut dan menyesal. Kerana kelalaian saya selama ini. Allah begitu baik sekali menegur saya melalui sahabat saya. Itulah yang saya rasa. Ya Allah. Betapa berdosanya aku, kerana lupa kepada MU. Betapa zalimnya aku membiarkan diri ini hanyut ditelan kealpaan.

’Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri, oleh itu ampunkanlah- apalah jua kiranya- akan dosaku.’

Ya Rabb.. aku lemah tanpa pertolonganMu, aku buta tanpa petunjukMu, aku cacat tanpa kasihsayang MU, aku zalim tanpa keampunanMU.. maka aku bermohon kepadaMU agar dikurniakan aku rahmat dan inayah Mu agar aku menjadi hambaMu yang bersyukur.

Saya cuba mencari penyelesaian antara saya dan dia. Tapi saya buntu. Lidah saya kelu, otak saya tidak ligat untuk memikirkan tindakan yang rasional dan jawapan yang meyakinkan. Saya sedih kerana buat dia sedih, sedangkan dia yang menyedarkan saya tentang semuanya. Saya sedih bila saya tak mampu buat dia bahagia. Saya lagi sedih jika saya kehilangan sahabat yang baik seperti dia. Oleh itu ya Allah. Bantulah aku agar aku bisa bersama sahabat yang banyak membantu ku kepada jalan MU yang Esa. Simpulkan ukhwah ini dengan ikatan iman dan taqwa kepadaMu, jauhilah kami ini dari segala maksiat yang melalaikan kami kepada MU.

Apapun, aku bersyukur padaMu ya Allah kerana masih lagi memberi peluang untuk aku sedar bahawa aku masih ada Engkau yang satu.




'Wahai Tuhanku, ilhamkan aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau telah kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhoi; jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. sesungguhnya aku bertaubat kepada Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu).'




'Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.'




Amin ya Rabbal 'Alamin.