Tuesday, April 22, 2008

Ibu yang pertama tetapi ayah bukan yang kedua


Kasih Ibu Membawa ke syurga kasih ayah rela berpayahan

Satu... kasih yg abadi
Tiada tandingi Dia yang satu
Dua... sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya ibu
Tiga... lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah

Empat... mudah kau ketemu
Berhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih
Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambut ku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa
Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus kau renungkan


Semalam seperti biasa saya balik kerja dengan menaiki bas, maklumlah belum ada lesen kereta. Dulu, waktu ummi suruh belajar kereta, macam-macam alasan; malaslah, takutlah, nantilah dan macam-macam lagi. Sekarang bila dah kerja, baru terasa getirnya perjalanan ini. Alhamdulillah, belas ihsan dan pengorbanan seorang ayah, abah sudi hantar saya ke tempat kerja tiap-tiap pagi dengan sabarnya. Kasihnya Ibu membawa ke syurga, kasih Ayahanda rela berkorban. Itulah abahku.

Tentang ayah

Bercerita tentang ayah, macam-macam cerita boleh dikisahkan. Apabila bercerita tentang kasih, tentang sayang, ayah jarang disebut-sebutkan. Cuba kita teliti lagu-lagu yang ada samada lagu balada atau nasyid, amat sukar menemui lagu yang berbicara tentang ayah. Kalau di televisyen sekalipun, jarang sangat diraikan hari ayah secara ekslusif, tetapi apabila hari ibu, macam-macam tayangan sempena meraikan ibu. Tidak pentingkah seorang ayah atau Siapakah ayah sebenarnya kepada kita?

Saya pernah bertanyakan sahabat-sahabat saya, sejauh mana kepentingan ayah untuk mereka atau dalam erti kata mudah, waktu bilakah ayah diperlukan dalam kehidupan mereka? Rata-rata sahabat saya menjawab kasih sayang mereka untuk ayah, tidak berbelah bagi, tetapi apa yang boleh saya simpulkan bahawa rata-rata daripada mereka sangat memerlukan ayah apabila dalam kesusahan, apabila inginkan wang dan apabila memerlukan sesuatu untuk diri sendiri. Bagi mereka ayah bukan tempat mereka meluahkan masalah. Mungkin benar mungkin juga tidak. Seorang sahabat saya berceritakan tentang ibubapanya. Katanya, dia kurang rapat dengan ibu berbanding ayah kerana ibunya garang dan ayahnya sangat penyayang, memahami dan selalu memberikannnya semangat. Baginya, ayahnya sangat istimewa. Apapun terpulang kepada setiap individu untuk menilai dan menghargai ayahanda dengan cara apa dengan syarat, jangan dilupai dan jangan dibandingi jasa ayah.

Saya percaya ramai akan mendahulukan ibu dalam setiap apa jua perkara, walhal untuk meminta wang daripada ayah sekalipun, ibu sebagai tawassulnya. Percaya atau tidak kebanyakan kita memang begitu. Namun tidak dinafikan masih ada yang mendahului ayah dalam hal-hal yang tertentu dan dalam bahasa mudahnya menyamakan hak ayah dan ibu.

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: "Saya tanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Kemudian siapakah? tanya saya lagi. Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Saya bertanya sekali lagi dan Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa?" tanya saya lagi." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat."


Ayah; insan istimewa yang jarang kita sedari
Sebenarnya sedar atau tidak, ayah sangat penting dalam kehidupan kita. Percayalah tanpa seorang ayah, kita sudah tentu tiada di bumi ini. Ayah insan istimewa yang jarang kita sedari kepentingannya. IBu.. Ibu... Ibu.. memang insan yang sentiasa penting dalam kehidupan kita. Kalau tanpa ayah kita masih boleh tabah dan gembira hidup di dunia ini, tapi tanpa kasihnya ibu, hidup kita terasa sunyi dan kosong. Ayah bukanlah insan yang melahirkan kita. Allah telah menetapkan si ibu adalah insan yang sesuai untuk melahirkan manakala si ayah dengan kudrat yang dianugerahi Allah padanya lebih bersifat kepada berkorban, mencari nafkah dan melindungi keluarga. sedar atau tidak jasa ayah tidak kurang hebat berbanding dengan ibu kita. Cubalah kita teliti ayah kita bagi yang masih mempunyai ayah. Ayah adalah insan kental yang tabah dan sabar mencari sesuap nasi dan keperluan untuk keluarganya. Ayah sekalipun penat tetap tabah dan teguh bekerja. Ayah jika dibandingkan, ketelitian terhadap anak-anak sedikit kurang jika dibanding dengan ibu. Namun ayah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk kita. Apa yang perlu kita sedar, ayah juga ada hati dan perasaan untuk meraih setitik perhatian keluarga. Ayah juga sebenarnya mengharapkan perhatian seperti mana yang ibu-ibu perolehi.


Kisah Kami adik Beradik

Saya teringat kisah kami adik beradik. Setiap kali kami menelefon bertanyakan khabar di rumah, pastinya kami akan menghubungi ummi terlebih dahulu kemudiannya kami bercakap dengan abah kadang-kadang samapai bertanya khabar ayah melalui ummi sahaja dan selebihnya sampaikan salam buat abah. Sehinggalah suatu hari, abang saya menelefon rumah untuk bercakap dengan ummi. Kebetulan ummi tiada waktu itu. Jadi abang saya bagitahu, tidak mengapalah kalau begitu biarlah dia bercakap dengan abah. Tiba-tiba dalam tidak sedar terdengar abah berkata dalam nada gurauannya..."erm ummi tiada barulah abah didahulukan". Kami adik beradi sangat terkesan, sungguh kami tidak membezakan antara ummi dan abah tetapi mungkin dalam tidak sedar terlampau banyak perbuatan kami mendahulukan ummi sedangkan jarang-jarang sekali tidak salah mendahului abah dalam perbuatan kita seharian. Tidak sangka itulah yang abah pendamkan selama ini. Namun abah saya tetap yang terbaik.

Ayah; kau Istimewa

Istimewanya ayah, dialah yang berusaha memberikan keperluan pelajaran kepada kita, menyediakan kemudahan untuk kita dan sentiasa menyokong kita di belakang. Sekalipun ayah sibuk bekerja, bukan bermakna dia tidak mengambil tahu hal kita. ayah biasanya seorang yang tidak banyak bercakap. Secara kasar kita jarang melihat ayah kita bertanyakan masalah kita atau menyelami hati kita walhal pada hakikatnya, ayah sentiasa mengikuti perkembangan kita melalui ibu kita. Mungkin ayah lebih kepada pemerhati kita dari jauh. Biasanya apabila anak-anak di dalam masalah ayah akan bertindak sekiranya masalah anak-anak itu sukar diselesaikan oleh mereka sendiri atau si ibu. Maka pada masa itulah ayah akan bertindak mengeluarkan idea atau pendapat bagi membantu anak-anak. Senyap ayah bukanlah dia tidak mempedulikan kita. Malah senyapnya itu mendidik kita dewasa. Ayah yang baik akan berusaha memberikan contoh tauladan yang baik kepada anak-anaknya. Selalunya ayah akan menegur salah laku anak-anaknya melalui ibu kerana ibu lebih bersifat lemah lembut dan perihatin. Oleh itu sebenarnya ayah dan ibu, merupakan insan yang sangat penting untuk keluarga bahagia dan penyayang.


Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Yang dikurniakan dari Ilahi
Ayah dan ibulah mesti dihormati
Yang dikurniakan dari Ilahi
Ayah dan ibulah mesti dihormati
Ayah dan ibu wali-wali keramat
Pada mereka kita beri hormat
Pakailah tunjuk ajar dan nasihat
Supaya hidup kita akan selamat

Berbuat Baik Kepada AYAH DAN IBU




Dalam hadith dan al-Quran banyak menyeru anak-anak agar berbuat baik terhadap ibu bapa. malah ia suatu kewajipan yang tidak boleh didolak-dalikkan.

Abul-Laits berkata: "Andaikan Allah s.w.t. tidak menyebut kewajipan berbakti kepada kedua orang tua itu dalam al-quran, dan tidak ditekankan nescaya dapat dimengertikan oleh akal bahawa taat kepada kedua orang tua itu wajib, kerana itu diwajibkan seorang yang berakal harus mengerti kewajipannya terhadap kedua orang tuanya, lebih-lebih Allah s.w.t. telah menekan dalam semua kitab yang diturunkan iaitu Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran, juga telah diwahyukan kepada semua Nabi, Rasul bahawa ridho Allah s.w.t. tergantung pada ridho kedua orang tua dan murka Allah s.w.t. tergantung pada murka kedua ayah bonda."

Pentingnya ibu bapa kerana tanpa mereka siapalah kita. Alangkah beruntungnya kita yang masih mempunyai ibu dan ayah. Di kesempatan yang ada inilah kita diseru membuat kebajikan kepada mereka sebanyak mungkin. Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat tentang kewajipan terhadap ibubapa dan pada masa yang sama kewajipan terhadap Islam. apabila berlaku pertembungan siapakah yang patut didahulukan. ini menyebabkan ada yang tersepit antara ibu bapa dan perjuang. Al-Quran dan tunjuk ajar Rasulullah telah cukup itu mengajar kita keutamaan yang perlu didahulukan. di sinilah letaknya fiqh awlawiyat yang perlu kita tahu dan pelajari. Di samping pentingnya keberhematan dalam berdiplomasi dengan ibu bapa.

Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkata: "Saya ingin berjihad (perang fisabilillah)." Nabi Muhammad s.a.w. bertanya: "Apakah kedua ibu bapamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya, kedua-duanya." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Didalam melayani keduanya harus berjihad."

Hadis ini menunjukkan bahawa taat bakti kepada orang tua itu lebih besar daripada jihad fisabilillah, sebab menyuruh orang itu berbakti kepada orang tua dan berjihad. Kerana itu maka seseorang tidak boleh keluar untuk jihad jika tidak diizinkan oleh kedua orang tuanya selama panggilan jihad itu tidak umum, maka tetap taat kepada orang tua lebih afdhal dari jihad fisabilillah. Sekalipun keperluan berjihad melebihi kepentingan kepada ibu bapa, di sinilah pentingnya kita memberi pemahaman dan memujuk ibu bapa dengan penuh ridho dan yakin akan ada jalan keluar untuk itu. Bagi sesetengah orang, hadith di atas tidak boleh dijadikan alasan untuk mengecualikan diri daripada perjuangan Islam kerana ia juga kewajipan selagi kita bergelar muslim.

Seorang sahabat juga pernah bertanyakan saya bagaimana harus dia lakukan kebajiukan untuk ibu bapa sekiranya mereka telah tiada. Islam juga mengajar cara kita membuat kebajikan untuk ibu bapa yang telah tiada dengan cara berdoa kebahagiaan mereka di akhirat dan berbuat baik terhadap sahabat-sahabat ibu bapa kita yang masih ada serta menghubungi keluarga dan sahabat-sahabat kedua orang tua kita . Dia sendiri menjadi orang soleh sebab menyenangkan kedua orang tuanya. Doa anak yang soleh akan samapai kepada ibu bapa selagi aman anak-anak mereka tetap mendoakan untuk mereka. Membaca istighfar dan mendoakan serta bersedekah untuk kedua orang tuanya itu. Di sini menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak dengan didikan rabbaniyyah dan bukan dunia semata-mata.

Al-Ala' bin Abdirrahman dari ayahnya dari Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: " Jika mati anak Adam putus (terhenti) semua amal perbuatan (kegiatannya), kecuali tiga macam iaitu:
-Sedekah jariah yang berjalan terus (wakaf-wakarnya)
-Ilmu yang berguna (yang diajarkan sehingga orang-orang melakukan ajarannya)
-Anak yang soleh yang selalu mendoakan pengampunan untuknya

Seorang ulama tabi'in berkata: "Siapa yang mendoakan kedua ibu bapanya tiap hari lima kali bererti telah menunaikan kewajipabnya terhadap kedua ibu bapanya." Sebab Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): "An usy kurli wali walidaika, ilayyal mashir. (Yang bermaksud): "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepadaKu kau akan kembali.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: " Jangan memutus hubungan pada orang yang dahulu kawan baik pada orang tuamu, nescaya akan padam nur cahayamu." Seorang dari suku Bani Saliman datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: "Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada jalan untuk berbakti pada keduanya sesudah mati itu?" Jawab Nabi muhammad s.a.w.: "Ya, membaca istighfar untuk keduanya dan melaksanakan wasiat keduanya dan menghormati sahabat-sahabat keduanya dan menghubungi keluarga dari keduanya."

Oleh itu, selagi harapan kita masih terbuka melihat ibu dan ayah di depan mata, berbuatlah baik kepada mereka. Jangan sesekalipun menyakiti hati mereka walau dengan tindakan yang kecil atau perkataan 'ah'.

'Tuhanmu telah menyuruh supaya kamu jangan menyembah (mengesakan) selain padaNya. Dan terhadap kedua ibu bapa harus berbakti (taat dan baik) apabila telah tua salah satunya atau keduanya disisimu, maka jangan menunjukkan sikat atau sikap jemu atau berkata: Ah, DAN janganlah engkau membentak keduanya dan ucapkanlah kepada keduanya ucapaan yang baik.'
-Al Isra':23-

Dan rendahkan dirimu kepada keduanya serendah-rendahnya dan doakan keduanya: "Ya Tuhan, Kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana keduanya telah memeliharaku dimasa kecil.
-Al Isra' :24-

Moga-moga dengannya kita tergolong sebagai anak yang sole dan solehah ... Amin.

"Tuhanmu lebih mengetahui apa yang didalam hatimu, jika kamu benar-benar baik (solih) maka sesungguhnya Tuhan itu terhadap orang yang salah lalu kembali taubat, ia maha penganmpun. (Surah Al-Isra' ayat 25)


Hak yang harus dilaksanakan oleh anak terhadap ibu dan ayah ada sepuluh iaitu:

-Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan
-Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat (Yang berbunyi): "Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): "Bantulah kedua orang tua didunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.
-Jika berhajat bantuan harus dibantu
-Menyambut panggilannya
-Mentaati semua perintahnya asalakn tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (Kasari orang)
-Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan
-Tidak boleh memanggil nama kecilnya ( gelaran)
-Jika berjalan harus dibelakangnya
-Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri
-Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya Sebagaimana doa Nabi Nuh a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. (Yang berbunyi): "Robbigh fir li waliwalidayya robbanagh fir li waliwalidayya wa lil muminin wal mu'minati yauma yaqumul hisab. (Yang bermaksud): "Ya Tuhan kami, ampunkan kami dan kedua ibu bapa kami dan semua kaum muslimin pada hari perhintungan hisab/hari kiamat.


No comments: