Sunday, April 20, 2008

Masa Oh Masa


Masa memang sangat pantas berlalu. Semalam hanya 2 aktiviti sahaja yang sempat mengisi perjalanan hujung minggu saya dalam melengkap kitaran 24 jam masa. Pagi semalam sahaja saya perlu menghadiri mesyuarat MSK untuk program LAMEGA (Lambaian Menara Gading). Program ini adalah untuk adik2 yang akan ke Menara gading untuk sesi 2008/2009. Memberi pendedahan kepada mereka tentang kehidupan di kampus seterusnya memberi panduan kepada mereka memilih laluan terbaik mereka di sana nanti (ikuti iklannya akan datang.). Paginya sahaja hampir 2 jam masa saya berlalu tanpa pengisian yang terbaik dan lari daripada perancangan asal. Pertamanya, hampir 20 minit masa saya berlalu hanya untuk perjalanan ke tempat mesyuarat. Alhamdulillah, di kesempatan masa itu saya sempat bertafakkur sejenak tentang kejadian alam di sepanjang perjalanan saya itu. Saya juga sempat berdiskusi dengan adik saya yang merupakan driver saya pada pagi itu (maklumlah lesen kereta masih dalam proses pembikinan) tentang keadaan di sepanjang perjalanan itu.


Hargailah alam semulajadi kita. Jangan Membuat kerosakan.

Perjalanan saya itu telah melalui satu kawasan sawah padi yang dulunya luas terbentang dan sangat cantik dipandang dengan kehijauannya yang masih terpelihara. Sayangnya kini keluasan itu hanya tinggal ‘sekangkang kera’ kerana sebahagian besarnya telah digunakan untuk projek pembangunan. Pembangunan jalan yang kini telah ramai manusia merasai nikmatnya dan dengannya memberi manfaat kemudahan kepada beribu-ribu hamba Allah untuk melaksanakan tugas masing-masing termasuklah saya. Bayangkan jika tiada pembangunan jalan di situ, semestinya perjalanan saya yang hamper 20 minit itu menjadi ½ ++ jam. Pembangunan tiada salahnya asalkan bermanfaat untuk semua dan tidak melampau-lampau.

Selebihnya sebahagian besar kawasan padi itu telah diambil oleh golongan tertentu untuk menjalankan satu projek mega iatu terminal makanan (Teman). Projek itu dilancarkan sebulan sebelum PRU ke 12 oleh golongan tertentu yang mana kononnya untuk meraih pengundi di negeri yang penuh nikmat ini. Malangnya setelah pihak tersebut gagal meraih kemenangan di bumi nikmah ini, maka sehingga ke hari ini projek tersebut masih belum menampakkan tanda-tanda untuk diteruskan. Maka kawasan projek itu setakat ini terbiar tanpa diteruskan perlaksanaannya. Begitulah manusia kalau mengejar kepentingan sendiri. Apabila gagal mendapat apa yang diingini, maka yang bukan haknya juga menjadi korban dek sifat balas dendam. Janganlah sesekali kita melakukan kerosakan di bumi kerana tangan-tanga klita sendiri akibat akhirnya kita juga yang binasa. Teringat Firman ALLAH dalam Surah al-Rum ayat 41:-




ظَهَرَ اْلفَساَدُ فِي اْلبَرِّ وَالْبَحْرِ بِماَ كَسَبَتْ أَيْدِى النَّاسِ لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِيْ عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ





'Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). '


Walaupun penafsiran ayat ini amat meluas, tapi boleh juga dijadikan peringatan untuk kita jangan terlalu mengejar keduniaan sehingga akhirnya melakukan kebinasaan kepadanya.Wallahu a’lam. Apa yang saya kesali, kawasan yang dulunya hijau kini hanya tinggal tanah lapang yang mencemar pandangan.


Hargailah Masa Sahabat...


Sebaik saya tiba di tempat mesyuarat, sekali lagi masa saya diuji. Bayangkan hampir 1++ jam masa saya digunakan untuk menunggu sidang mesyuarat yang datang lewat atas alasan masing-masing. Dalam penantian saya itu, sempat saya membaca akhbar Sinar Harian. Cuma yang mana tersempat saya baca adalah berita tentang satu pernikahan yang hampir tidak jadi kerana tok imam pergi memancing. Berpunca daripada isteri tok imam yang terlupa bagitahu bahawa ada satu keluarga memintanya untuk menikahkan anak mereka pada hari tersebut. Macam-macam, dunia sekarang apabila peristiwa sekecil itu bisa menjadi bahan berita untuk tatapan umum. Inilah kehidupan.

Apa yang saya kesalkan apabila masa kita tidak dihargai oleh orang lain semata mata kerana hal yang mereka boleh elakkan sedangkan kita telah mengadakan perjanjian bersama. Sepatutnya sebagai seorang yang berada di dunia perjuangan Islam, kita harus menghargai masa sahabat-sahabat kita. Jangan sesekali mempermainkan masa sahabat kita kerana kemungkinan mereka mempunyai komitmen yang lain untuk dilaksanakan. Bayangkan seorang sahabat saya terpaksa mengorbankan usroh beliau kerana menghadiri mesyuarat yang agak penting ini dan beliau menjangkakan masih sempat menghadiri usroh tersebut kerana mesyuarat ini berlangsung dalam masa 2 jam. Tapi sayangnya dek kerana masa yang tidak dihargai, janji yang tidak ditepati, usrohnya terkorban. Sahabat-sahabat, ambillah peringatan. Mungkin hari ini bukan hari kita untuk merasai kerugiannya, namun ingatlah jika kita tidak ingin masa kita dipermainkan, hargailah masa sahabat kita. Benda yang paling jauh dengan kita adalah masa yang berlalu pergi. Kita mungkin boleh mengisi masa ’adhoc’ yang tidak dirancang dengan aktiviti seperti membaca, berzikir atau sebagainya, tetapi bagaimana pula apabila sahabat kita yang terpaksa memberi komitmen terhadap rancangan lain?

'Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.'

Mesyuarat tersebut berakhir kira kira dalam pukul 12.30 tengahari iaitu 11/2 berikutnya yang sepatutnya bermula jam 9.30 pagi. Oleh itu merancanglah untuk masa dan hargailah masa sahabat-sahabat kita. Teringat bicara As-Syahid Hassan Al-Banna bahawa kewajipan kita ini lebih banyak daripada masa yang kita ada. Bayangkan banyak kewajipan kita dikorbankan oleh satu agenda sahaja akibat perjalanan masa yang tidak ditepati.

Pupuklah Budaya Membaca

Dalam perjalanan pulang dari mesyuarat semalam, sempat saya singgah di Jafar Rawas. Hajatnya nak beli buku Aku Terima Nikahnya karangan Abu Saif, tapi sayangnya tempahan belum tiba memandangkan buku itu baru sahaja dikeluarkan. Akhirnya saya memilih buku karangan Tok Guru : Taqwa untuk dijadikan tatapan. Sebab teringat kata seorang kakak, apabila kita singgah di kedai buku, belilah walaupun satu buku. Teringat pula bicara amir kampus saya suatu masa dulu, jikalau ada peluang membeli buku, belilah. Walaupun kita tidak sempat mengkhatamkannya hari ini, kemungkinan kita akan memerlukannya hari esok. Kata Ustaz Ismail Mustary pula, Timbalan Pengarah Masjid Sultan Ismail UTM ketika dulu, nak jadi orang berilmu, banyaklah membaca dan menuntut dengan tok guru secara bertalaqi. Maka untuk memastikan minat membaca berterusan belilah buku-buku ilmiah walau terpaksa bebelanja banyak duit. Saya juga pernah tebaca satu buku tentang tanggungjawab seorang isteri. Salah satu tugas Isteri adalah perlu menyediakan untuk keluarga mereka satu perpustakaan mini untuk memupuk minat membaca di kalanagan ahlinya. Jadi saya juga teringin berbuat begitu. Sebab itu, sekiranya ada rezeki, saya hendak mengumpul sebanyak mungkin buku yang boleh keluarga saya telaah kelak, InsyaAllah. Sememangnya ilmu tidak hanya diperolehi melalui pembacaan tetapi membaca adalah satu jambatan ilmu. Paling tidak banyak masa lapang kita dihabisi dengan membaca sekiranya tiada tugasan untuk dibuat.

Teringat seorang sahabat seperjuangan saya apabila ada bertanyakannya tentang benda yang paling beliau tidak suka. Jawabnya apabila masa membaca beliau dihabisi oleh tidur dan apabila dalam sehari tidak menghabiskan membaca satu buku. Alangkah beruntungnya mereka yang dikurniakan sifat cintakan ilmu. Dengan ilmulah manusia tidak taqlid, dengan ilmulah Allah mengangkat darjat manusia dan dengan ilmu bermanfaatlah manusia dihormati.
Firman Allah S.W.T:

Mafhumnya: "Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat". (al-Mujadilah:11)


Aktiviti kedua saya sepanjang hari semalam adalah belajar memandu kereta. Bayangkan sebaik pulang daripada kedai buku, saya terpaksa pulang ke rumah dengan bas dan terpaksa mengorbankan 1 jam masa saya. Akhirnya saya selamat tiba di rumah dalam pukul 3 petang. Penat sangat terpaksa berehat sekejap. Dalam pukul 5 barulah saya dapat belajar memandu kereta.

Malamnya saya habisi masa saya dengan berkarya. Karya yang tak siap-siap sampai sekarang. Esoknya saya kena kerja. Maka kenalah tidur awal untuk persediaan esok. Bayangkan masa 24 jam saya terlalu pantas untuk mengisi 2 aktiviti sahaja. Rancanglah dengan masa kerana kita boleh rugi andai kita sedikit sahaja terleka. Sememangnya dunia akhir zaman membuatkan masa kita terasa terlalu singkat untuk dimanfaatkan.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".

No comments: