Friday, May 16, 2008

GURU OH GURU

Dia Seorang Guru

Dia seorang guru tua sebuah sekolah
terdidik dalam negeri tanpa berjela ijazah
penunggu setia sekolah desa bukan cuma ganjaran upah
tidak juga mengharap kemilau gelar dan anugerah
sekadar kerelaannya menggenggam suatu amanah

yang mengangkat harga diri dan maruah
dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
dengan kelkhlasan had dan pasrah
dengan tidak mengenal jemu dan penat-lelah
yang diperkirakan kepuasan diri membangun ummah
berlandas paksi yang jelas dalam tuju-arah.
Dia seorang guru pengganti ayah ibu
dia seorang guru pembentuk generasi baru
dia seorang guru pembina insan sepadu
dia seorang guru pewaris tamadun ilmu
yang terus hidup sepanjang waktu
diimbau berbunyi dilihat bertemu.

Ismail Haji Adnan
1989



Hari ini, Hari Guru



16 Mei adalah tarikh yang sinonim buat insan-insan yang bergelar guru. Pada tarikh ini, ingatan buat guru-guru disumbangsihkan dalam pelbagai bentuk dan rupa, pelbagai gaya dan suasana. ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’, inilah tema yang sudah acap kali diguna pakai sejak 2,3 tahun kebelakangan ini. Pada tahun ini tema yang sama digunakan sempena meraikan Hari Guru ini. Guru Oh Guru.

Siapakah Guru???



Guru membawa erti yang sangat luas dan tidak terhad. Jika dirujuk kepada istilah bahasa arab guru juga boleh diertikan dengan muallim, murabbi, mudarris, ustaz, muaddib dan mursyid. Yang mana setiap perkataan arab itu mustahil mempunyai maksud yang sama. Sebagai contoh muallim dan murabbi sekalipun kedua-dua perkataan itu secara umumnya membawa erti guru tetapi penggunaannya adalah berbeza dan jika dikaji kedua-duanya memberi peranan yang berlainan. Muallim lebih menjurus kepada sorang pengajar (tidak terhad kepada guru sekolah) yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya, dan kadang-kala digunakan dalam ertikata pemimpin. Berbeza dengan murabbi, seseorang muallim lebih menumpukan kepada ilmu akal. Murabbi dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbiy berlegar di “hati”.

Oleh itu secara amnya, sesiapa sahaja yang menjalankan fungsi seperti di atas secara umumnya boleh dianggap sebagai guru hatta ianya sahabat atau adik kita sendiri. Guru membawa erti yang sangat luas. Cuma siapa yang betul-betul menjadi guru kita itu lebih penting.

Perkataan mursyid berasal dari bahasa arab, dari kata irsyada, iaitu memberi tunjuk-ajar. Dalam erti kata lain, mursyid bererti, seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk-ajar terutamanya dalam bidang kerohanian, dalam istilah para sufi.

Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t., dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah.

Para mursyid dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyah an-nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w. (tanpa terputus turutannya). Oleh itu pada kebiasaannya, ia daripada keturunan ulamak.

Para mursyid bertanggung jawab bagi mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Antara ciri seseorang yang digelar mursyid adalah:-

  • Mempunyai ilmu agama yang jelas tentang perkara-perkara fardhu 'ain.
  • Dia merupakan seorang yang kamil dari sudut muamalah dengan Allah s.w.t.
  • Mendapat pengiktirafan /pengesahan dari mursyidnya (guru) yang diiktiraf (tidak putus dalam turutan pengajaran).
  • Manhaj tarbiah yang selari dengan panduan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Manakal dalam masyarakat Melayu, ustaz dikhususkan kepada mereka yang mengajar agama atau pelajaran agama Islam di sekolah, madrasah, masjid, pondok dan sebagainya.


Tok guru pula merujuk kepada guru agama yang memiliki kepimpinan rohaniah.



Ibu Bapa adalah guru pertama anak-anak

Tidak dinafikan sekolah pertama kita adalah rumah kita sendiri, manakala guru pertama yang bertanggungjawab mendidik kita waktu itu semestinya adalah ibu bapa kita. Saya tidak nafikan ummi dan abah saya merupakan guru pertama saya yang mengenalkan saya kepada kehidupan. Malah ibu bapa merupakan ‘role’ model yang paling berkesan dan terpengaruh terhadap pembesaran akhlak dan budaya kehidupan anak-anak. Malah ibu bapa yang ingin menjadi guru yang terbaik bagi anak-anak perlulah mendidik diri mereka seawal mungkin bermula sebelum kelahiran anak-anak itu sendiri malah sebelum terbinanya baitul muslim.


Rasulullah Guru (Mualllim, murabbi mursyid muaddib mudarris) Teragung.


Seharusnya kita wajib untuk bersyukur kerana kasih sayang Allah telah mengutuskan seorang rasul-Nya yang telah melengkapkan keperluan hidup insan dan menyempurnakan akhlak seluruh umat manusia. Nikmat yang paling besar adalah nikmat iman dan islam itu sendiri. Kedatangan Rasulullah yang menjadi guru teragung umat manusia melengkapkan seluruh keperluan manusia. Seharusnya guru yang patut kita ingati adalah rasulullah s.a.w yang menjadi guru yang paling sempurna dan ‘role’ model yang tiada tandingan untuk kita contohi. Namun ingatan buat Baginda yang semakin hari semakin luput ditelan zaman menjadikan akhlak manusia ranap dan musnah, menjadikan manusia kembali kepada hidup yang tidak bertamadun dan rosak akidahnya? Siapakah yang harus dipersalahkan apabila rasulullah s.a.w bukan lagi idola bagi umat manusia manakala Allah bukan lagi matlamat hidup insani? Maka tidak mustahillah dunia hari ini adalah dunia yang semakin menuju kehancuran. Ya rasulullah, engkau guru teragung yang menerangi hidup manusia.


Guru Masa Kini

Apa dah jadi…. Apa dah jadi…..? Banyak berita-berita di dada akhbar mahupun media massa yang lain menceritakan tentang peranan guru yang tiada ternilai dan tidak kurangnya mengisahkan keburukan guru yang bertindak di luar batasan dan norma seorang pendidik. Di mana silapnya dan apakah puncanya. Ummi saya sendiri seorang guru selalu berceritakan tentang akhlak anak-anak masa kini yang pantang ditegur, rosak, manja dan semakin menjadi-jadi. Berbeza pada zaman dahulu kala, apabila anak-anak dihantar ke sekolah, ibu bapa membenarkan apa sahaja yang bentuk hukuman terhadap anak-anak mereka asalkan masih di bawah kawalan. Tidak hairanlah ramai anak-anak yang ‘menjadi’ pada waktu itu dan hampir tidak kedengaran guru-guru yang mendatangkan masalah. Saling kepercayaan antara guru dan ibubapa menjadi proses pendidikan di sekolah berjalan dengan sempurna. Bezanya hari ini, pelajar-pelajar yang nakal di sekolah pantang ditegur, pantang dirotan, pasti campur tangan ibubapa akan mengeruhkan lagi suasana walhal ternyata teguran guru adalah disebabkan oleh sikap anak-anak mereka. Tidak hairanlah kalau dewasa ini sering kedengaran ibubapa menyaman guru, pelajar sekolah menyaman guru dan pelajar-pelajar memukul guru. Tidak dinafikan ada guru-guru yang kadang-kadang bertindak di luar batasan, sehingga peristiwa beberapa hari yang lalu di Harian Metro di mana guru membaling kerusi ke dinding kerana tidak tahan dengan kedegilan pelajar-pelajarnya? Salah siapakah sebenarnya, guru atau pelajar itu sendiri. Wallahu a’lam. Pada saya guru umpama ibubapa kita. Setiap teguran mereka ada asbabnya tersendiri. Andai kata ada guru-guru muda sekarang yang tidak menghayati erti perjuangan seorang guru, maka tidak mustahil dikatakan bahawa ia juga mungkin dididik oleh guru sedemikian dan kurang penghayatan terhadap perjuangannya sebagai guru. Wallahu a’lam. Semestinya guru adalah insan yang perlu kita hormati sebagaimana kita menghormati ibu bapa kita.

Siapakah guru kita???

Apabila berbicara tentang guru, kebanyakan daripada kita akan merujuk kepada guru sekolah. Fenomena saya berada di kampus, pensyarah kebanyakannya tidak dihormati seperti mana hormatnya seorang pelajar kepada guru. Seingat saya, di sekolah, adab bersama guru kita akan memberi salam apabila bertemu guru, melaksanakan khidmat murabbi di mana setiap kali ternampak guru membawa barangan yang berat, pasti akan ditolong. Namun fenomena di kampus, apa yang menjadi pemerhatian saya, kebanyakan menganggap guru dan pensyarah adalah dua fenomena insan yang berbeza walhal mereka menjalankan fungsi yang sama. Budaya yang diamalkan apabila bergaul dengan guru di sekolah tidak berjaya diaplikasi di kampus-kampus. Sebagaimana yang kita tahu guru mempunyai maksud yang luas dan tidak tertakluk kepada guru di sekolah kita sahaja. Ini bermakna pensyarah atau sesiapa sahaja yang memberi ilmu atau menunjukkan kepada kebenaran ia wajar dianggap guru dan wajar dihormati sebagaimana hormatnya kita terhadap guru dan ibubapa kita.

Mereka yang bergelar Guru.


Sejuta penghargaan dan tahniah buat insan bergelar guru. Jerih perih, susah dan senang memperjuangkan peranan seorang guru dan telah berjaya melahirkan remain insane berguna untuk agama dan bangsa. Seharusnya ucapan Hari Guru ini tidaklah terhadap mereka yang mengajar di sekolah sahaja atau di universiti-universiti, malah hari guru ini khas untuk semua insane yang pernah menjalankan kewajipan menyeru kepada kebenaran dan menyampaikan sesuatu walau satu ayat. Namun ia lebih istimewa bagi mereka yang menyelami bidang perguruan itu sendiri.

Tahniah buat insan-insan yang pernah menjadi guru saya…

Selamat Hari Guru saya ingin rakamkan khas buat mereka…

Ummi n Abah (Guru pertama saya yang sememangnya mereka adalah pendidik)

Cikgu- cikgu Tabika Kemas

Cikgu2 di Sekolah Kebangsaan Kedai Piah

Cikgu2 di Sekolah Menengah Pangkal Kalong

Cikgu2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat

Cikgu2 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang

Pensyarah-pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai

Sahabat-sahabat yang pernah menjadi guru saya yang membawa saya kepada erti perjuangan di Kampus

Sahabat-sahabat yang secara tidak langsung memberikan ilmu dan menunjuki kebenaran

Dan sememang tidak dilupakan cikgu-cikgu sekolah memandu yang mengajar saya dengan penuh sabar.= )

Selamat Hari Guru… Engakau Ibarat Bulan Purnama.. Cahaya Menerangi Alam Buana Menerangi Hidup Manusia…dah tak ingat (Lagu nasyid ni dinyanyikan guru saya semasa di Sek Men Keb Agama Naim Lilbanat)


Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979




No comments: