Thursday, May 8, 2008

Pengertian Hari Ibu yang Perlu Diperhalusi



Oleh : Dr. Robiah Hamzah.
MINGGU ke dua dalam bulan Mei begitu sinonim dengan
sambutan Hari Ibu
yang kini seolah-olah menjadi trend
kepada anak-anak meraikannya. Lazimnya di hari

tersebut, ingatan kepada Ibu dizahirkan dengan membawa
mereka makan-makan di hotel atau restoran lima bintang
sambil berhibur mendengar muzik atau melihat artis
menyanyi.

Pemberian seperti hadiah-hadiah istimewa juga tidak
dilupakan atas niat, si ibu berasa bahagia dan
gembira. Namun sampaikah hajat yang ingin diluahkan
kepada si ibu? Berbaloikah membawa mereka keluar
menikmati keindahan makan malam di bawah lampu neon
bergemerlapan. Senang dan tenangkah hati mereka
menerima "hadiah" seperti itu dan serasikah jiwa si
ibu dengan suasana demikian. Bagaimana pula dengan
budaya dan agama yang kita junjung, apa pula pandangan
daripada sudut tersebut. Wartawan Keluarga, Rahana MD
bertemu pakar motivasi dari RKH Motivation & Services,
Dr. Robiah Hamzah baru-baru ini.

Soalan: Apakah pandangan mengenai sambutan Hari Ibu yang menjadi trend sejak kebelakangan ini?




Dr. Robiah: Pandangan peribadi saya begini, dari sudut
sejarah dan budaya sambutan ini jelas menunjukkan ia
bukan hadir daripada budaya timur dan agama Islam.
Sebaliknya ia perayaan yang disambut oleh penganut
agama kristian (keagungan terhadap mary atau mariam)
seperti mana mereka menyambut hari valentine atau
kekasih.

Sambutan ini seperti ada kempen dakwah tersembunyi di
dalamnya supaya kita semua mesra dengan budayanya dan
tidak berasa janggal untuk meraikan bersama. Akhirnya
kita senang dan selesa dengan sambutan tersebut
sedangkan ia berkaitan dengan akidah kita sebagai
muslim.

Apa salahnya dengan sambutan tersebut?

Dr. Robiah: Tidak ada cacat celanya sambutan itu
sebenarnya tetapi cara ia diraikan menggambarkan
seolah-olah wujud hari tertentu kita mengingati si ibu
sedangkan Islam mewajibkan ibu dikenang se panjang masa
kerana syurga di bawah telapak kakinya. Cara
sambutannya juga tidak kena dengan budaya dan agama,
seolah-olah tersirat agenda memesongkan cara hidup
Islam secara senyap-senyap.

Sebaiknya bagaimana pula sambutan dilakukan?

Dr. Robiah: Tidak wujud sambutan sebenarnya tetapi
jika kita ingin mengikut arus globalisasi dan kononnya
tidak dianggap ketinggalan, masih boleh diraikan
tetapi pengisiannya jangan sesekali bercanggah dengan
Islam. Jika sebelum ini masing-masing sibuk membawa
ibu makan-makan di hotel sambil dihiburkan dengan
muzik-muzik moden, dihantar menyertai pelbagai
pertandingan yang lucu dan mengaibkan kerana tidak
sepadan usia, dibacakan sajak atau puisi hingga lalai
solatnya, tidak terjaga aurat dan pergaulannya ubah
kepada yang serba sederhana namun kesannya mendalam
kepada seluruh ahli keluarga.

Pilih hari yang semua anak beranak dapat berkumpul dan
lokasinya terpulang mengikut kemampuan. Sediakan
makanan yang digemari ibu, ajak kawan-kawan yang
selalu menemaninya dan buatkan tahlil, baca yasin
beramai-ramai dan adakan tazkirah. Untuk hiburan
dibacakan kisah ibu-ibu sanjungan yang terkenal, kisah
ibu dan pengorbanan yang dilakukan atau menonton
filem-filem yang mengisahkan tentang ibu.

Serasikan majlis seperti itu kepada ibu-ibu moden yang masih muda?

Dr. Robiah: Ini bukan soal serasi atau tidak, ibu muda
atau tua sebenarnya sama tugasan kerana apabila
anak-anak yang masih kecil dibudayakan dengan cara
sambutan sebegini, ia akan diserap menjadi cara hidup
untuk menguatkan jati diri mereka. Ibu-ibu yang masih
muda harus ingat, menjaga ibu tua yang sakit atau uzur
dengan baik adalah contoh terbaik kepada anak-anak
untuk menghormati datuk dan nenek. Majlis yang baik
seperti ini akan dikenang oleh anak-anak dan disuntik
dalam kehidupan apatah lagi diiringi dengan doa-doa
yang lunak didengar dan dihayati.

Sebagai ibu masa kini, apa pula peranannya?

Dr. Robiah: Muhasabah atau semak diri semula tentang
peranan seorang ibu yang sepatutnya, Tanya diri apakah
ciri-ciri ibu solehah telah pun ditunaikan. Apabila
kita faham tugas, kaitkan pula dengan ciri-ciri
pemakaian yang nilainya bukan untuk diri sahaja tetapi
juga santun di mata anak-anak. Bagaimana ilmu untuk
mendidik anak-anak dimanfaatkan dalam kehidupan
seharian, kemahiran berkomunikasi, mengatasi masalah
anak-anak kecil, anak remaja putus cinta dan pelbagai
lagi teknik menawan dan merapatkan hubungan.

Paling utama, tulus ikhlas dalam mendidik anak-anak
kerana apabila menjadi ibu hatinya kena bersih,
budinya pekerti dan akal budinya mulia.

Untuk renungan

Konsep keibuan sebenarnya tidak perlu diperjelakskan
kerana begitu banyak yang telah diperkatakan
mengenainya.

Islam memberikan penghormatan yang tinggi kepada
status keibuan. Perkara ini dibuktikan melalui hadis
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Diriwayatkan dari
Abu Hurairah bahawa seorang lelaki bertanya, Ya
Rasulullah, Siapakah yang paling berhak untukku
berikan kebaikan? Baginda s.a.w menjawab, Ibumu.
Siapakah selepas itu? Ibumu. Selepas itu? Ibumu,
kemudian barulah bapamu.’’ (Hadis Riwayat Bukhari).

Keutamaan mendahulukan ibu berbanding bapa dalam
memberikan kebajikan sehingga disebut sebanyak tiga
kali mungkin mengambil kira tiga peranan eksklusif ibu
dari sudut biologikal iaitu mengandung, melahir dan
menyusukan bayi.

Para antropologis juga sering menekankan bahawa aspek
keibuan ini adalah sesuatu yang kukuh dan jelas.

Umumnya, ibu adalah individu yang mengandung dan
melahirkan anak.

Ini berasaskan kepada apa yang dinyatakan di d alam
al-Quran yang bermaksud:

“Dan kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya yang
telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan
demi kelemahan (dari awal mengandung hingga keakhir
menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun...” (Surah Luqman, 31:14)

No comments: