Saturday, November 22, 2008

MADA

5 bulan di SMU Agama Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka (MADA) (atau lebih dikenali ramai sebagai Sek Tok Guru) bagi saya cukup bermakna. Walaupun pengalaman, ilmu dan kemahiran yang diperolehi tidaklah terlalu banyak, namun manfaat daripada setiap yang saya dapat amat bermakna buat saya. Alhamdulillah, berada di sana sedikit sebanyak membuka peluang saya untuk menimba pelbgai ilmu. Betul kata orang pengalaman bisa mematangkan seseorang. Saya tidaklah menganggap diri saya cukup dewasa atau matang dalam sesuatu perkara tetapi daripada setiap pengalaman itulah saya belajar tentang kehidupan. Sebetulnya, kehidupan ini tidak seindah lakaran minda kita.

Saya seorang Musyrifah

Di MADA saya bertanggungjawab sebagai seorang Musyrifah (panggilan bagi warden perempuan di sana) di Baitutholibah (Asrama Muslimat). Saya berdepan dengan pelajar muslimat yang pelbagai umur dari 13 – 19 tahun, dari pelbagai Negara, negeri dan pelbagai pula karenahnya. Cukup mencabar pada saya. Apabila berdepan dengan remaja terutamaya remaja perempuan, pendekatannya lebih kepada kita sebagai sahabat dan lembut. Pada usia remaja, mereka tidak boleh dilayan dengan cara keanak-anakan kerana pada usia ini jiwa remaja lebih kepada ingin berkongsi bukan ingin diajar begitu atau begitu. Bentuk tarbiyyah untuk mereka tidak boleh terlalu kasar dan dalam bentuk arahan. Mereka ingin didekati dari hati ke hati kerana pada usia remajalah mereka melalui kemuncak zaman muda di mana mereka mula mengenal erti kehidupan sebenar. Teguran dengan tegas tidak lagi sesuai melainkan untuk kes – kes tertentu. Mereka perlu diberikan peluang untuk membuat keputusan mereka sendiri namun kita sebagai penjaganya perlulah menjadi pemerhati setia mereka dan mengawasi mereka agar mereka tidak terlalu jauh dari ajaran Islam dan teguran yang lembut perlulah digunakan sekiranya mereka tersilap. Saya bersyukur kerana berpeluang mendidik anak remaja. Sekurang-kurangnya saya belajar ‘management skill for teenage’ dan mungkin akan menjadi pedoman jika saya mempunyai anak-anak remaja kelak, InsyaAllah.

Saya seorang ustazah, teacher atau cikgu.

Saya juga berkesempatan menjadi guru di sana menggantikan guru yang bersalin. Peluang ini saya ambil untuk mengasah kemahiran saya ;) (berpeluang juga belajar mendidik anak-anak lelaki). Macam-macam gelaran yang dipanggil kepada saya oleh pelajar-pelajar di sana, ustazah, cikgu atau teacher mungkin kerana saya mengajar pelbagai subjek. Saya diamanahkan mengajar pelajar tingkatan 1 dan 2 yang mana kesemuanya lapan kelas, kesemuanya pelajar banin (lelaki). Lagi mencabar saya rasakan. Bayangkan mengajar pelajar-pelajar banin yang pelbagai karenah, pelbagai negeri dan ada juga Negara lain (Indonesia, Thailand dan Kemboja). Pada mulanya saya rasa tidak yakin untuk mengajar pelajar banin, rasa berdebar, malu, gementar, seram sejuk dan bercampur baur perasaan saya pada ketika itu. Alhamdulillah selepas seminggu saya berjaya mengatasi perasaan itu. Betul kata seorang sahabat saya di kampus dulu bahawa kita tidak akan berjaya mengatasi perasaan negative dalam diri kita selagi kita tidak melalui terlebih dahulu faktor yang menjadikan perasaan negative kita wujud. Itulah yang saya rasai ketika itu.

Pendekatan berbeza antara Banin dan Banat

Mentarbiyah remaja perempuan cukup berbeza dengan mentarbiyah remaja lelaki. Mengikut satu fakta yang saya perolehi ketika di Sekolah menengah saya dulu, pada usia 13-19 tahun, remaja perempuan mempunyai pemikiran yang lebih matang berbanding remaja lelaki. Namun berebeza dengan suasana yang saya lalui di MADA, kebanyakan pelajar banin yang saya ajari cukup matang melangkaui usia mereka. Begitu juga kebanyakan pelajar banat yang saya jagai di asrama cukup matang berbanding usia mereka. Matang yang saya maksudkan di sini adalah dari segi pengetahuan mereka terhadap perkara – perkara yang negatif (baca : perkara yang tidak sepatutnya mereka tahu dan fikirkan pada usia mereka). Namun mereka cukup mentah dari segi hal – hal kehidupan seperti tanggungjawab mereka, sikap berdikari dan apa yang mereka patut lakukan pada usia itu. Seolah-olah keseronokan dan hiburan sahaja yang mereka fikirkan

Kematangan anak-anak zaman sekarang

Secara keseluruhannya, anak-anak zaman sekarang terlalu mentah tentang kehidupan. Malah mereka lebih matang kepada sesuatu yang lebih berbentuk hiburan. Saya sempat mendengar satu slot pagi di IKIM yang membincangkan topic ‘Kenapa anak-anak sekarang kurang matang berbanding anak-anak zaman dahulu’. Saya tertarik kepada ulasan seorang pemanggil yang memberi pendapat beliau bahawa kematangan anak-anak sekarang sangat kurang kerana anak-anak remaja sekarang banyak dihidangkan dengan hiburan-hiburan yang melampau, aksi-aksi yang menjijikkan dan budaya hedonisme semakin menular dalam dunia akhir zaman ini. Jadi bagaimanakah kita akan melahirkan generasi pemuda yang akan berjuang untuk Islam??? Alangkah ngerinya jika suatu masa nanti tidak hairanlah akan lahirnya generasi pemuda yang kebanyakannya takut pada mati dan perjuangan Islam. Nauzubillah. Sememangnya itulah reality dunia sekarang. Pemuda zaman kini adalah pemuda yang tiada cita-cita untuk islam bahkan cita-citanya hanyalah untuk dunia semata-mata.

Benarlah apa yang ditulis oleh Fathi Yakan dalam karangannya Generasi Pemuda dan Perubahan bahawasanya Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar;
Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera;
Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang ;
Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh partiparti
kufur dan syaitan;
Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka;

Tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.

Anak-anak MADA anak-anak yang baik.

Apapun anak-anak di MADA, sekalipun pelbagai karenah, namun masih terdapat segelintir pelajar banin dan banat yang saya lihat padanya ada harapan untuk menjadi pemuda pemudi yang padanya ada cita-citanya untuk Islam. Namun pentarbiyahan yang berterusan amat perlu bagi memastikan mereka sentiasa berada di jalan yang benar dan lurus.Apapun terima kasih banyak-banyak kepada pelajar asrama banat dan anak-anak murid saya kerana banyak memberi peluang pada saya untuk belajar. merekalah guru kehidupan saya.

No comments: