Friday, December 19, 2008

Wasiat Untuk Bakal Isteri....

Sewaktu baca email sahabat-sahabat tiba-tiba terjumpa artikel ini.



Firman Allah s.w.t dalam surah al-Rum ayat ke 21 maksudnya :
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya,
bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterang an (yang menimbulkan kesedaran) bagi
orang-orang yang berfikir.

Menerusi ayat ini kita dapat melihat bahawa antara tanda kesempurnaan kejadian manusia ialah penciptaan teman hidup yang akan meneruskan kesinambungan kehidupan
manusia di bumi. Ayat yang menjurus kepada pembuktian tanda-tanda kekuasaanNya ini menghuraikan satu bentuk dari berbagai bentuk anugerahNya yang seringkali diabaikan.

Para ahli tafsir menitikberatkan permasalahan yang berkaitan dengan Islam dan hokum,
namun suatu perkara yang perlu ditangani ialah memahami mesej ayat dalam rangka realiti atau lebih tepat lagi kaedah menguruskan konflik rumahtangga yang sering dialami oleh pasangan-pasangan yang berkahwin. Mengapakah masalah ini timbul sedangkan mafhum ayat mengkehendaki dnegan perkahwinan adanya keserasian dan kedamaian.

Antara wasiat orang bijaksana yang dicatatkan oleh al-Jahidz dalam kitabnya al-Bayan wa al-Tabyeen tentang perspektif perkahwinan yang membahagiakan ialah pesanan isteri ‘Auf bin Muslim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk
disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan panduan bagi orang yang menggunakan akal.Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa
cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka. Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'hamba' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'hamba' lelaki bagimu serta
menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

* Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

* Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang tidak cantik daripadamu dan jangan sampai dia mencium bau yang busuk daripadamu.

* Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.


* Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat kira-kira dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

* Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu mengegkari perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan selamat daripada pengkhianatannya. Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau
bersedih di hadapannya ketika dia berseronok.

* Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu. Jadilah kamu orang yang selalu sekata dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan kehendaknya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kegembiraannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang tidak kamu senangi dan Allah pasti memberkatimu.

walaupun nasihat ini lebih menumpukan kepada aspek bahasa, namun pengajaran yang dikutip di sebaliknya amat membantu kita memahami reality hayat kita di dalam rumahtangga.

Secara ringkasnya, ibrah yang terdapat di sebalik wasiat ibu yang matang ini ialah :

1. Carilah pasangan yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.

2. Ketaatan kepada suami adalah wajib selagi beliau tidak menyuruh melakukan maksiat kepada Allah.

3. Kepentigan mengamalkan sikap berlapang dada dan bertolak ansur kerana
ia pasti menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin
Allah.

4. Carilah keberkatan hidup dengan menjaga hubungan dengan Allah,contohnya dengan sentiasa berdoa kepadaNya tanpa menghebohkan kekurangan pasangan nescaya engkau akan dapat kasih sayangnya dan kasih sayang manusia.

5. Para perunding hendaklah sentiasa memberikan semangat terhadap banyaknya peluang untuk pembaik pulihan daripada mencari kelemahan seseorang.

Mudah-mudahan sedikit wasiat berupa pengalaman para hukamak ini dapat menyerikan lagi rumahtangga yang dibina bagi menjamin keberadaan sakinah, mawaddah dan rahmah!

No comments: