Thursday, January 29, 2009

3 Golongan Awal ke Neraka

Sufyan Ash-Ashbahiy bercerita kepada 'Uqbah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah,dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampiri, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati.
Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah s.a.w kepadaku".
Selepas berkata begitu, tiba-tiba Abu Hurairah menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan. Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah s.a.w kepadaku di rumah ini, tidak ada orang lain selain aku dan Baginda."

Tiba-tiba Abu hurairah menangis kembali tersedu-sedu hingga hampir pengsan.Ketika Abu Hurairah kembali sedar dia menceritakan, "bahawa pada hari kiamat nanti, Allah SWT akan turun kepada hambaNYA untuk memberikan keputusan kepada mereka.Setiap umat ketika itu berlutut.Golongan terawal yang dipanggil adalah orang alim,orang yang berperang di jalan Allah SWT dan orang kaya."

Allah SWT bertanya kepada orang alim itu, "Bukankah Aku telah mengajarkan kepadamu kitab yang telah Aku turunkan kepada Rasul-Ku?" orang itu menjawab,"Benar, wahai Tuhan." Allah SWT kembali bertanya, "Apa yang telah engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?" Orang tersebut menjawab,"Dengannya aku beribadah kepada-Mu di malam hari dan siang hari." Maka Allah SWT berfirman kepadanya,"Engkau dusta." Malaikat juga berkata kepadanya,"Engkau dusta." Allah SWT berfirman, "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim."

Kemudian dipanggil orang kaya. Allah SWT berfirman,"Engkau telah Aku beri rezeki sehingga berkeadaan cukup.Orang itu menjawab,"Benar wahai Tuhan." Allah SWT kemudian bertanya, "Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?" Dia menjawab, "Dengannya aku bersilaturrahim dan juga bersedekah." Allah SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta." Malaikat juga berkata kepadanya, "Engkau dusta." Allah SWT berfirman, "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang dermawan."

Kemudian di datangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan Allah SWT. Maka Allah SWT berfirman, "Apa yang menyebabkan engkau terbunuh?" Dia menjawab, "Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalanMu, maka aku berperang sehingga terbunuh." Maka Allah SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta." Malaikat juga berkata kepadanya, "Engkau dusta." Allah SWT berfirman, "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani."

Kemudian Rasulullah SAW menepuk lututku sambil bersabda, "wahai Abu Hurairah, Ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat."

taken from majalah wanita islam Muslimah:Jamadilakh ir-Rejab 1429;Julai 2008

No comments: