Thursday, March 5, 2009

Hak wanita memilih bakal suami




Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya, kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan....

"Wanita Solehah Penyejuk Hati"

Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya, kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan....

Islam memberi jaminan terhadap kebahagiaan kaum wanita. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan samada menerima atau menolak calon suaminya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa kaum wanita untuk menentukan calon suaminya, kerana kehidupan berumahtangga tidak bolah didirikan atas dasar paksaan.

Allah swt , memberikan setiap perkahwinan itu dengan rasa kasih sayang dan rahmah. Tentu sahaja cinta, kasih sayang dan rahmah tidak akan ada jika perkahwinan itu dilaksanakan dengan paksa. Rasulullah saw bersabdaa maksudnya : "Mintalah pendapat kaum wanita dalam masalah mereka sendiri, janda menentukan dirinya sendiri, sedangkan diamnya gadis menandakan persetujuannya"(HR Tabrani)

Cara yang paling tepat untuk memilih suami yang baik iaitu dengan mengetahui latar belakang kehidupannya. Di zaman Rasulullah saw, untuk mengetahui keadaan calon suami, orang tua atau wali akan bergaul langsung untuk mengenali lelaki tersebut. Umpamanya Rasulullah saw tidak memilih Ali untuk puterinya Fatimah, kecuali baginda mengetahui akhlak dan agamanya.

Islam juga membolehkan kaum wanita menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh. Sikap seperti ini tidak salah kerana bertujuan ingin mendapatkan keredhaan Allah swt dan untuk memperolehi pahala daripadanya samada apakah tawarannya itu diterima ataupun sebaliknya.

Anas ra berkata : Ada seorang wanita yang datang menawarkan dirinya kepada Rasulallah saw dan berkata : Ya Rasulullah saw apakah baginda memerlukan aku?. Puteri Anas ra yang ada di situ mencela wanita tersebut. Kemudian anas ra berkata kepada anaknya itu : Dia lebih baik daripadamu wahai anakku. Wanita tersebut suka dengan nabi dan menawarkan dirinya. Kerana sikap wanita tersebut tidak melanggar tuntutan agama, maka Rasulullah saw tidak mencelanya, maka baginda menolak tawaran tersebut dengan cara berdiam diri, agar tidak melukakan perasaan wanita tersebut.

Islam juga memberi hak kepada kaum wanita agar menolak pasangan yang dijodohkan untuknya atau yang meminang dirinya. Jika orang tua atau wali sesuka hati memaksa kahwin dengan lelaki yang tidak disukai lantaran akhlaknya yang buruk, maka wanita itu berhak menolaknya.

Anis binti Qatadah mempunyai suami bernama Khanfasa` bin Khaddam yang meninggal dunia dalam Perang Badar. Ayahnya mengahwinkannya dengan orang lain secara paksa. Anis Bin Qatadah menghadap Rasulullah saw dan menceritakan nasibnya itu. Ya Rasulullah, ayahku memaksa aku kahwin dengan pilihannya, sedangkan aku lebih menyukai bapa saudara daripada anak-anakku sebagai pengganti suamiku. Maka perkahwinan itu dibatalkan oleh Rasulullah saw, dan Rasulullah saw merestui perkahwinan Anis dengan saudara suaminya, kerana kepentingan wanita tersebut dan anak-anaknya.

Tidak ada yang berhak memaksa seorang gadis untuk kahwin dengan lelaki yang tidak disukainya. Tetapi jika ayahnya telah memilih untuknya suami yang soleh maka itu lebih baik baginya agar menerimanya. Kerana orang tua selalu menginginkan agar anaknya bahagia, serta memperolehi suami yang bertanggungjawab.

Perkahwinan yang berdasarkan paksaan kadang-kala akan menerima kehancuran kerana di antara suami isteri tidak sayang menyayangi dan tidak saling mencintai. Firman Allah swt maksudnya : Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.(Ar-Rum : 21)

Jika kaum wanita atau gadis ingin memilih calon suaminya sendiri, maka janganlah mengikut keinginan nafsu sahaja. Perhatikanlah aspek keimanan dan ketakwaan yang dimiliki oleh calon suami tersebut. Jangan selalu mengutamakan kedudukan dan harta, kerana kedudukan dan harta boleh lenyap bila-bila masa sahaja. Allah akan menjamin kebahagiaan hidup suatu keluarga di dunia ini jika mereka beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Firman Allah swt maksudnya: Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.(An-Nahl :97)

Jangan merasa bimbang jika calon suami tidak mempunyai harta yang banyak. Namun seandainya ia tergolong orang yang bertaqwa dan beramal soleh maka Allah akan memberikan rezeki yang cukup kepadanya. Abu Dzar berkata, bahawa Rasulullah saw bernah bersabda maksudnya : Sesungguhnya aku mengetahui suatu ayat, sekiranya orang ramai berpegang teguh dengannya mereka akan hidup makmur. Kemudian baginda membacakan ayat tersebut maksudnya : Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikan rezeki daripadanya arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap sesuatu. (Ath-Thalaq :2-3) wallahua'lam

P/s : Kepada seseorang yang pernah bertabyakan saya tentang persoalan ini. Ini jawapannya yang dipetik daripada sebuah blog. moga2 jadi panduan.

No comments: