Wednesday, July 27, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan


Yeay! Yeay! Esok Nak Puasa

Tak sabar rasanya menanti ketibaan bulan yang penuh barokah dan kemuliaan. Masih berbaki 4 hari untuk sampai kepadanya. Semua berharap untuk mendapat nikmat dan ganjaran yang besar dalam setiap amalannya kerana dilipat kali ganda pahala bagi mereka yang melakukan ibadhat kepada Allah di bulan Ramadhan. Bermula sekecil-kecil amalan sehinggalah kepada sebesar-besar amalan akan diberi ganjaran oleh-NYA asalkan semuanya ikhlas kerana-NYA.

Memperkasakan Ibadhah Wajib Melazimi Ibadhah Sunat

Pada bulan ini, semua diberi kesempatan untuk melakukan amalan wajib dan sunat dengan lebih khusyuk bagi mereka yang mengambil kesempatan. Pada bulan inilah biasanya diri kita akan berasa lebih khusyuk untuk beribadhat. Bagi yang masih lemah dalam ibadhat wajibnya, pada bulan inilah peluang untuk melatih diri memperkasakan lagi ibadhat wajib dengan harapan ia terus menjadi kebiasaan walaupun tidak berada di bulan Ramadhan lagi. Jika dahulunya selalu melambat-lambatkan solat, maka di bulan inilah kita berazam untuk memperbaiki lagi waktu solat kita. Di bulan ini juga, Allah mencampak rasa keinginan kita (bagi mereka yang merebut peluang) untuk menambahkan lagi koleksi amalan kita dengan melakukan ibadhat sunat dengan penuh harapan agar ia menjadi kelaziman di kemudian hari. Jika kita terlalu sukar untuk berqiamullail, waktu inilah masa yang sesuai untuk membiasakan diri dengan amalan sunat itu. Betapa Allah memberi kemuliaan kepada mereka yang beribadhat di bulan ramadhan sehingga merasakan amalan yang dilakukan tidak mencukupi untuk menjadikan kita mukmin yang kuat dan soleh. Maka dengan itu rebutlah nikmat dan keistimewaan di bulan Ramadhan agar kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang rugi. Bagi mereka yang merebut peluang, inilah pesta ibadhah yang sangat dinanti-nantikan. Semoga kita menjadi golongan mereka yang beruntung.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak...
Kullu Aamm Wa Antum Bikhoir










~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Selamat hari guru istimewa buat my first teachers : Ummi and Abah, Guru Kehidupanku :Suami ku Tercinta Nizar, Kak Long n Ejah, Guru-Guru Di Tadika Kemas Kedai Piah, Guru-guru Di Sek Keb Kedai Piah, Guru-Guru Di Sek Men Keb Agama Naim Lilbanat, Guru-guru di KMPP, Guru-guru a.k.a pensyarah 2 UTM, guru-guru di MADA dan sesiapa sahaja yg pernah menjadi guruku secara langsung atau tidak, dan sesiapa sahaja yang bergelar GURU.....


May Allah Bless us...Ya Allah Rahmati Guru-Guruku.



~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Tuesday, May 10, 2011

"Dia" Anugerah Tercomel Kami...


Dinaikkan Pangkat

Saya bukanlah seorang yang suka meraikan hari ibu apatah lagi mengagung-agungkan hari ibu , namun yang saya pasti sejarah hari tersebut bukanlah suatu yang disyari'atkan Islam untuk menyambutnya apatah lagi untuk mengenangkan peristiwa apakah pada hari tersebut.

Namun apa yang saya ingin kongsi, sejarah semalam membuktikan anak saya Raihanah Binti Nizar telah genap umurnya setahun. Setahun yang lalu, pada 9 Mei 2010, dikala orang diluar sana sibuk menyambut hari ibu, di saat itu juga Raihanah lahir ke dunia memberi pangkat yang sangat mulia kepada saya dengan gelaran 'ibu'. Rasa sangat bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai. Amin Ya Rabb...

Kami, Raihanah dan Cabaran

Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan amanah Allah itu buat kami berdua (saya & suami tercinta) kerana kehadirannya melengkapkan lagi erti keluarga asas kami. Genap umurnya setahun, maka semakin banyak Raihanah belajar dengan kehidupan. Namun apa yang pasti, pembesaran Raihanah adalah dalam lingkungan kehidupan yang dipenuhi cabaran. Maka, sebagai ibunya saya perlu berusaha memastikan anak saya sentiasa terpandu dan diberi tunjuk ajar yang digariskan Islam. Sebagai ibu, saya seringkali juga berasa bimbang, apakah saya mampu mendidik anak saya menjadi seorang muslimah yang mendirikan Islam dalam dirinya. Dunia hari ini menjadikan rasa bimbang sangat tinggi dalam diri saya dan suami. Alhamdulillah, dengan kerjasama daripada suami tercinta, suami yang berilmu, maka kami akan berusaha sedaya mungkin menjadikan anak kami anak yang solehah malah akan menjadikan Raihanah seorang hafizah.

Cabaran Membawa Anak Kecil Ke Majlis Ilmu Dan Usrah

Teringat ketika mengandungkan Raihanah, ketika itu saya masih dalam pengajian sarjana saya di UTM. Ketika itu seorang sahabat yang mempunyai anak kecil yang ketika itu masih berusia dalam lingkungan 3-5 bulan, datang ke majlis ilmu. Anak kecil itu tidak menangis atau meragam dipangkuan ibunya walau keadaan ketika itu sangat panas dan amat tidak selesa untuk seorang bayi. Namun anak kecil itu seolah -olah mengerti bahawa ummi dan abinya sedang menuntut ilmu. Allahhu Akbar. Saya terfikir ketika itu, adakah anak saya nanti akan begitu ketika majlis ilmu?

Ya, satu cabaran membawa anak ke majlis ilmu atau usrah. Malah, saya pernah berjumpa beberapa sahabat saya yang agak sukar menghadiri majlis ilmu dan usroh kerana bimbang anak akan meragam dan menangis ketika majlis ilmu atau usroh, seterusnya mengganggu hadirin yang lain. Lalu terus meninggalkan majlis ilmu dan usroh. Ya, ketika awal kelahiran Raihanah, saya juga bimbang dan berfikiran begitu, namun sokongan suami dan nasihat beliau menguatkan semangat saya.

Raihanah, kalau menagis, tangisannya sangat kuat. Jadi ia sangat membimbangkan saya untuk membawanya ke majlis ilmu. Sehinggalah suatu hari, ketika Raihanah berusia 3 bulan, suami saya mengajak saya ke majlis ilmu di masjid. Apa yang membimbangkan saya Raihanah akan menangis dan meragam lalu mengganggu jemaah yang lain. Namun dengan nasihat dan semangat suami saya, akhirnya saya ke majlis ilmu tersebut, dan kami dapat mendengar majliss ilmu tersebut tanpa Raihanah mergam dan menangis. Perkara yang sama juga ketika membawa raihanah ke majlis Usroh, alhamdulillah semuanya dapat kami jalani dengan baik. Apakah nasihat suami Saya sehingga saya tidak risau membawa Raihanah ke majlis ilmu?


Nasihat Beliau : .
Doa dan Pengharapan Kepada Ya Rabb


Ketika saya berasa bimbang untuk membawa Raihanah ke majlis Ilmu dan usroh, suami saya memberi nasihat dan semangat. Kata beliau, sebagai seorang yang ditarbiyah, janganlah kita meninggalkan suatu kerja Islam kerana halangan anak dan Isteri. Anak dan isteri adalah cubaan bagi kaum lelaki. Jangan takut untuk membawa anak ke majlis ilmu. Jangan bersa bimbang kalu anak meragam atau menangis. Berdoalah kepada Allah dengan harapan Allah menjaga anak kita sewaktu kita di majlis-majlis ilmu. Harapan Allah menjaga bagaimana? Berdoalah supaya Allah menjaga anak kita dari menangis atau meragam atau gangguan benda halus dan sebagainya yang akahirnya akan sedikit menggaanggu kita dan hadirin yang lain di majlis ilmu tersebut.

Sejak itu, sekiranya saya hendak ke majlis ilmu atau usroh, itulah yang akan saya doakan
semoga Allah menjaga anak saya dan tidak mengganggu hadirin yang lain ketika di majlis ilmu. .
Sehinggakan pada suatu ketika saya terlupa untuk berdoa sedemikian sewaktu hendak ke majlis ilmu. Akibatnya Raihanah agak meragam. Ia tidak menggagu hadirin lain, tapi menyukarkan saya untuk konsentrasi kepada majlis tersebut.

Ini hanya pengalaman saya. Mungkin lain cara bagi lain orang. Apa yang penting, doa dan pergantungan kita kepada Allah. Kita tidak mampu menjaga anak ita setiap masa, namun apa yang terlepas daripada pandangan mata kita, bermohonlah kepada Allah agar Dia memelihara dan menjaga anak kita. InsyaAllah Allah membantu kita dengan cara-Nya. Semoga Ya Allah, Engkau terus menunjukkan kami dan memandu kami di jalan MU.. Amin..






~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Friday, April 22, 2011

Insyirah: Sekali Sekala Rindu Itu Datang Juga...

'Uyun, Kak Ita, Hasni, Syifa', Hidayah, Kak Helia, Aku..

Rindu mereka semua....



Apa khabar agaknya mereka - mereka semua ? Rindu pada mereka. Rasa-rasanya Insyirah sudah berpenghuni baru. Mereka yang tidur, makan, bergurau senda bersama-sama, berkongsi masalah bersama-bersama, siapkan thesis bersama-sama sudah pun punyai kehidupan masing-masing. Solat berjemaah, tazkirah, tegur menegur, qiyamullail dan berpuasa bersama menjadi kerinduan yang tak dilupakan. Nikmat berukhwah bersama-sama mereka adalah suatu yang tidak akan dilupakan. Buat mereka semua, semoga sentiasa istiqamah dengan gerak kerja dan amal ibadhat yang sentiasa kalian lakukan dulu-dulu, malah harapannya agar lebih baik dari sebelumnya...


Uyun (Seorang yang perihatin, penyayang dan ceria): Sudah berkahwin, menetap di Dungun bersama suami tercinta, sedang menyiapkan penulisan thesis master. Tahniah.
Kak Ita (Seorang yang penyayang, suka kucing, dan sgt peramah) : Sebelum ni, kat oversea. Dengar cerita dah balik Malaysia, setakat ni belum dgar berita.
Hasni (Lemah lembut, sopan dan bertanggungjawab): sudah berkahwin juga, sekarang menetap di Marang bersama suami tercinta, sedang menyiapkan Master...
Syifa' (Seorang yang peka, fokus dan manja):Sudah berkahwin, sedang buat masa dan menetap di Skudi bersama suami tercinta
Hidayah (Manja, Kelakar dan Banyak petua): Setelah pindah dari insyirah, sekali sekala contact jg dayah.. sekarang sudah lost contact. Apa cerita dia skg.
Kak Helia (Lemah Lembut, Kelakar, Suka makan ulam):Sekarang kerja kat KL kot. lama sudah tak dengar berita kak lia. apa khabar dia di sana.

YA ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini

telah berkumpul kerana mengasihiMU,

bertemu untuk mematuhi perintahMU,

bersatu memikul beban dakwahMU,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk

mendaulat & menyokong syariatMU,

maka eratkanlah YA ALLAH akan ikatanya…

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini

akan jalanNYA yang sebenar,

Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu

yang tidak kunjung malap,

Lapangkanlah hati-hati ini dengan

limpahan iman dan keyakinan

dan keindahan tawakkal kepadaMU,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan

ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU,

Jika Engkau mentakdirkan mati,

maka matikanlah pemilik hati-hati ini

sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU,

Engkaulah sebaik-baik sandaran

dan sebaik-baik penolong,

YA ALLAH,

Perkenankanlah permintaan ini…












~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Monday, April 18, 2011

Allah Engkau Dekat : Bosan, Jemu Dan Malas Dari Berdoa Serta Lambatnya Pengabulan Doa


Dalam sebuah hadith shahih, Rasulullah SAW bersabda;
'Doa seseorang dari kalian akan dikabulkan selama ia tidak bersikap tergesa-gesa, yakni dia berkata: "Aku telah berdoa, tapi doaku belum juga dikabulkan." '.
(HR Al-Bukhari dan Muslim)


Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT untuk tidak bersikap tergesa-gesa dan hendaklah seseorang hamba itu sentiasa terus menerus dalam berdoa dan tidak tergesa-gesa kerana setiap sesuatu itu sudah ditentukan kadar dan waktunya di sisi Allah. Allah mempunyai waktu-waktu yang didalamnya Allah mengabulkan semua permintaan dengan qada' dan qadarNya. Maka jangan sekali-kali kamu terburu-buru kerana boleh jadi pengabulan doamu diakhirat kelak, itulah yang lebih baik bagimu daripada dikabulkan di dunia.

Atau boleh jadi juga Allah memalingkan keburukan daripadamu atau daripada p[encegahan dengan berlipat kali ganda daripada sesuatu yang tidak dianugerahkan atau yang akan dianugerahkan kepadamu dalam doa itu.

Atau boleh jadi Allah hendak menyimpan pahala bagimu atau Dia akan memenuhimu akan tetapi setelah sepuluh atau atau dua puluh tahun kemudian atau dalam kadar waktu tertentu, maka jangan sekali-kali kamu terburu-buru, akan tetapi kamu mesti terus menerus berdoa dan jangan berputus asa, kerana hanya orang-orang kafir sahaja yang berputus asa daripada rahmat Allah. ; )




Sumber : Jagalah Allah, Allah Menjaga Mu.... Karangan: Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni

~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Friday, April 15, 2011

A Beautiful Story About MOM


























Sumber: dah Lupa sumbernya diambil daripada mana... tapi just a story









~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Wednesday, April 13, 2011

Allah Engkau Dekat : Doa dan Taqdir


Seorang hamba berkat "Bagaimana mungkin saya akan berdoa, sedangkan Allah sudah menentukan untukku?" Kita menjawabnya: "Doa itu tidak pernah bertentangan dengan taqdir. Ketika kamu berdoa, sesungguhnya Allah telah menentukan bagimu bahawa Dia menghindarkan kamu dari sesuatu lantaran kamu berdoa kepadanya. Atau Allah telah menentukan sesuatu ini akan menimpamu, dan maka Allah jualah yang telah menentukan bahawa kamu akan berdoa, sehingga sesuatu iyu akan terhindar daripada kamu. "

Misalnya, allah telah menetukan anak kamu tidak lulus dalam peperiksaan, dan allah mengkehendaki kamu akan berdoa untuknya , sehingga anakmu lulus. Tiba-tiba bagaimana kamu boleh berkata, "Bagaimana mungkin saya akan berdoa agar anakk saya lulus dalam peperiksaan sementara Allah telah menentukannya tidak lulus, maka tidak ada manfaatnya." Maka kita menjawab, "Berdoalah kepada Allah, kerana Allah telah menentukan bahawa kamu akan berdoa untuknya sehingga anakmu lulus."

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya taqdir dan doa saling bertikai di antara langit dan bumi"
(Al Hakim, Lihat Majma' Az- zawa'id)

Doa hendak memaling taqdir sedangkan taqdir itu ingin mengalahkan doa maka akhirnya Allah mengambil doa sesuai dengan taqdir yang telah ditulisNya.

Maka sudah semestinya kamu berdoa, sekali-kali kamu jangan berputus asa daripada rahmat allah. Perbanyakkanlah berdoa kerana ianya tidak bertentangan dengan taqdir. Bahkan doa akan memalingkan nya dengan taqdir lain dan dengan ketetapan Allah. Atau allah akan melembut atau meringankannya, atau hal itu akan menjadi pahala dan ganjaran kerana usaha kamu berdoa untuk kebaikan.

Allah berfirman mafhumnya;
"... ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada siksa api neraka" (Al-Baqarah:201)















Sumber:"Jagalah Allah,Allah Menjagamu" karangan Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni




~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~

Friday, February 25, 2011

Alhamdulillah...

Sudah lama rasanya tidak mencoret sepatah dua kata di ruangan yang telah dipenuhi sesawang ini. Terlalu banyak cerita untuk dikongsi dan dicoretkan, namun tahap kemalasan yang agak tinggi untuk menulis ditambah pula dengan tidak mengambil kesempatan masa dan ruang yang ada, akhirnya terbiarlah blog saya dengan tidak berentri baru...

Alhamdulillah sepanjang hari yang telah berlalu sehingga ke hari ini, banyak perkara yang telah berlaku namun, suka untuk saya berkongsi bahawa aalhamdulillah, akhirnya berkat sokongan suami tercinta, anak tersayang, ummi n abah dan famili yang sentiasa di sisi, saya berjaya menamatkan Master saya ( Ijazah Sarjana sains (Matematik)) setelah 4 semester bertungkus lumus dengan pelbagai dugaaan di sepanjang perjalanan menuju kepada kejayaan pada hari ini. Semoga ilmu yang diperolehi, diberkati dan dapat digunakan sebaiknya... Misi seterusnya adalah menunggu baby ku Raihanah berusia setahun dan apply kerja......









~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~