Tuesday, April 2, 2013

PERLUNYA BERKATA 'JANGAN'




Saya sering terdengar larangan – larangan untuk berkata JANGAN kepada anak – anak kerana ia mungkin boleh membantutkan perkembangan minda dan pergerakan anak –anak. Sebolehnya cubalah untuk berkata positif.  Pada mulanya saya menerima bulat-bulat larangan berkata jangan kepada anak-anak sehinggalah suatu saat di mana saya
berbincang-bincang dengan suami tentang larangan berkata JANGAN kepada anak-anak.

Suami saya pernah mendengar satu  kuliah ilmu yang pernah disampaikan oleh seorang ulama’ tentang hal ini. Menurut falsafah barat, elemen perkataan jangan tidak boleh sesekali digunakan oleh ibu-bapa dalam mendidik anak-anak supaya tahap perkembangan dan kegeniusan anak tidak terbantut. Namun menurutnya Islam, tiada istilah larangan untuk berkata jangan kepada anak –anak. Islam menitik beratkan elemen berkata jangan ini sangat penting kepada anak-anak dalam proses mendidik mereka . Tetapi ada bahagian-bahagian yang lain yang perlu untuk kita tidak berkata jangan. Sebaliknya menggunakan ayat nasihat dan perkataan yang positif sahaja.

BILA KITA PERLU BERKATA JANGAN KEPADA ANAK-ANAK

Saya amat menyetujui ada segelintir sahabat saya yang menegur saya untuk tidak menggunakan perkataan jangan sebaliknya guna perkataan yang lembut sahaja. Ya saya akui, tetapi perlu saya ingatkan sahabat-sahabat saya yang diluar sana bahawasanya bukan semua keadaan kita tidak boleh berkata jangan. Adakalanya kita perlu berkata jangan untuk mengajar anak kita tentang sesuatu perkara.

Situasi pertama.
Anak si A telah melakukan kesilapan dengan bercakap bohong dengan kawannya. Si ibu perlu menegur si anak ini dengan berkata jangan supaya jangan sesekali berbohong kerana akibatnya berdosa. Jangan di sini menunujukkan sesekali tidak boleh bercakap bohong. Memang itu sifat terlarang.

Situasi kedua.
Si anak berlari – lari untuk mendapatkan ayahnya. Pada situasi ini si ibu pasti  bimbang dengan apabila anak itu berlari akan dibimbangi dia jatuh. Pada ketika ini untuk melarang anak daripada berlari kita nasihatilah anak ini dengan ayat yang positif sebagaimana contoh “Aisyah, jalan perlahan – lahan dan hati-hati” supaya si anak tahu perlunya berjalan berhati –hati dan perlahan-perlahan supaya tidak jatuh pada situasi begitu  dan pada masa yang sama dia tidak menidakkan tidak boleh berlari Cuma perlu sesuai pada tempat dan keadaannya.  Sekiranya kita menggunakan jangan berlari, mungkin anak-anak beranggapan  dia memang tidak boleh sesekali berlari sedangkan untuk sesuatu keadaan lain perlunya untuk berlari.

APABILA BERKATA JANGAN, PERLU DIIKUTI AKIBAT  DAN KATA-KATA NASIHAT

Sememangnya, perlu untuk kita berkata-kata jujur dengan anak –anak.  Apabila kita menggunakan perkataan jangan, maka sertailah jangan itu dengan akibat daripada larangan itu dan kata-kata nasihat. Ini kerana apabila kita berkata jangan, seterusnya diikuti kata-kata nasihat, anak-anak akan tahu apa yang perlu dilakukan oleh mereka apabila dilarang berbuat demikian.  Apabila anak –anak bergaduh, perlu untuk kita berkata Jangan bergaduh kerana mungkin nanti akan mengakibatkan pecah belah dalam hubungan mereka kerana dalam apa jua situasi tidak boleh sesekali bergaduh  sesama umat Islam. Ikutilah larangan itu dengan menasihati anak-anak  supaya mereka harus  sentiasa menyayangi saudara mereka dan adik beradik mereka.  Dengan itu anak-anak akan tahu, tidak sesekali boleh bergaduh jadi apa yang perlu dibuat seterusnya mereka perlu saling sayang menyayangi.


 Jangan bercakap kasar dengan ibu bapa, perlu untuk menasihati anak dengan perkataan jangan kerana bercakap kasar dengan ibu bapa adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Akibatnya akan mendapat murka Allah. Turutilah kata-kata jangan itu dengan menasihati anak untuk bercakap lemah lembut dan merendahkan suara apabila berkomunikasi dengan ibu bapa. Penggunaan JANGAN  pada situasi melarang sesuatu yang sememangnya salah sesekalipun  tidak akan membantut perkembangan seseorang anak sedikitpun malah anak-anak belajar bahawa pentingnya larangan-larangan ini.

Di situasi lain, anak –anak bermain gelas yang digunakan untuk minum air . Apa yang kita bimbangi gelas itu akan pecah dan mungkin akan menyebabkan luka. Namun  untuk situasi ini, nasihati anak dengan ayat positif untuk menggambarkan larangan daripada bermain gelas tersebut sebagaimana contoh, “Aisyah, letakkan gelas tersebut elok –elok. Apabila telah selesai minum, pastikan letak balik ditempat asal. Kalau Aisyah bermain – main dengan gelas, nanti dibimbangi akan pecah ”. Sekiranya kita menggunakan jangan untuk larangan bermain gelas itu, anak – anak mungkin akan beranggapan pegang gelas atau menggunakan gelas sesekali tidak boleh baginya.


Oleh itu, tiada larangan untuk kita berkata jangan kepada anak-anak dalam mendidik. Cuma minimalkan perkata tersebut untuk situasi yang tidak kritikal. Sebaliknya gunakan ayat-ayat positif dan lembut.
Di dalam Al-Quran sendiri banyak digunakan perkataan Jangan untuk menggambarkan sesuatu larangan  itu yang mana susulan daripada perkataan jangan adalah akibat daripada larangan itu dan seterusnya disertai dengan nasihat atau lebih kepada apa yang perlu dibuat untuk kita tidak melakukan larangan itu.
Sememangnya Islam itu syumul dan merangkumi semua aspek dari sekecil – kecil perkara sehingga kepada sebesar – besar perkara. Janganlah kita terlampau untuk mengikuti falsafah barat tanpa menilai kebenran kepada falsafah itu. Islam sudah cukup untuk membuktikan kesempurnaan ajarannya. Turutilah apa yang baik yang salah jadikan teladan.
Sekian..



~Sesungguhnya Solatku, Ibadhatku, Hidupku dan Matiku Kerana Allah, Tuhan Seluruh Alam~